PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang meneliti daripada sudut undang-undang sebelum mengambil tindakan sewajarnya termasuk melucutkan keahlian tujuh wakil rakyatnya yang mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua wakil rakyat tersebut boleh memberikan pelbagai tafsiran berhubung kedudukan kerusi sebagai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), namun parti akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.
“Mungkin mereka tidak sangka bahawa tindakan ini akan beri kesan kepada mereka. Tunggu masa sesuai, kita akan laksanakan pindahan ini dan diharapkan begitu, kerusi terlibat akan kosong kerana perlembagaan (Bersatu) menjelaskan jika seseorang terhenti, maka kesan kerusinya dikosongkan.
“Mereka mungkin tidak faham atau sengaja mencari alasan untuk menyedapkan hati, ini bulan puasa, tidak apalah. Mereka boleh beraya dahulu, kita akan mengambil langkah sewajarnya mengikut pindaan perlembagaan ini,” katanya menerusi hantaran video dalam Facebook semalam.
Minggu ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas parti itu, 2 Mac lalu dan membolehkan parti itu mengambil langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen, sekali gus membuka laluan pilihan raya kecil.
Sebelum ini, Bersatu meluluskan pindaan Perlembagaan parti yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Pindaan itu dilakukan selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Selain itu, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi dukungan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 7 Mac lalu.
Sebelum ini Ketua Penera-ngan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah diarahkan menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kekosongan enam kerusi Parlimen itu.
Namun katanya, Hamzah terlebih dahulu akan menghantar surat kepada semua pemimpin terlibat untuk menyatakan pendirian terbaharu masing-masing.
“Mereka diberi tempoh menyatakan pendirian, jika tetap menyokong Anwar, keahlian akan tergugur secara automatik seperti pindaan perlembagaan parti yang diluluskan RoS,” katanya. – UTUSAN










