SEREMBAN: Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Seremban hari ini membuat laporan polis terhadap seorang penceramah, Rosmin Adam susulan tular video berdurasi 1.01 minit berkaitan ceramah individu tersebut di sebuah masjid yang didapati mempunyai tuduhan jahat dan fitnah terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Laporan polis dibuat oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd. Shah dan Ketua AMK Cabang Seremban, Mohamad Afif Anuar di Balai Polis Seremban 2 di sini pada pukul 3 petang tadi.
Ahmad Shahir ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya difahamkan, video berkenaan merupakan rakaman sebahagian ceramah oleh Rosmin sewaktu kuliah subuh di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd. Yusof, Sikamat di sini pada 1 April lalu.
Menurutnya, menerusi ceramah itu, Rosmin telah mengulangi fitnah yang berkait isu perkataan kafir selain mengaitkan isu larangan takbir di sekolah, kantin sekolah dibuka pada bulan Ramadan dan larangan membaca Qunut Nazilah di sekolah dengan Fadhlina.
“Dalam ceramah itu lebih kepada menghasut, menanam kebencian dan fitnah walaupun penjelasan telah diberikan. Walaupun dia tidak merujuk kepada mana-mana individu namun semua maklum siapa individu yang dia rujukkan, Yang Berhormat Fadhlina juga telah memberikan respon yang jelas berkenaan isu tersebut.
“Masjid tidak boleh dibiarkan menjadi platform untuk menyebarkan fitnah jika tidak ia akan mendatangkan masalah kepada masyarakat. Hasil semakan mendapati dia mempunyai tauliah untuk menyampaikan ceramah justeru kami meminta Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sembilan untuk menyemak semula tauliahnya itu.
“Jika dia mengajar perkara yang betul, ia tidak menjadi masalah tetapi hasil rakaman video tersebut jelas dia menggunakan platform itu dengan tauliah yang dia ada untuk menghasut dan menanam kebencian kepada satu pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Seremban 2 di sini.
Sementara itu, Mohamad Afif berkata, beliau tidak menolak tindakan Rosmin tersebut bermotifkan politik memandangkan penceramah tersebut juga mempunyai jawatan di peringkat bahagian dalam sebuah parti pembangkang.
“Ucapannya adalah berbentuk tuduhan jahat dan fitnah ke atas Menteri Pendidikan yang disengajakan bagi tujuan menghasut dan membawa kebencian melalui ceramah agama di masjid. Saya harap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.-UTUSAN.











