BULAN lalu, Kedah merekodkan gelombang haba tahap dua di Pokok Sena susulan fenomena El Nino yang menjejaskan sedikit sebanyak kehidupan harian penduduk terutama di daerah berkenaan yang mencatat suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah celcius.
Bukan sahaja penoreh getah mengehadkan aktiviti menoreh mereka serta ada yang menoreh pada waktu malam kerana lebih sejuk, malahan para petani juga pulang awal dari sawah dan peniaga tepi jalan pula terpaksa berehat seketika daripada berniaga pada waktu tengahari.
Bahang panas di Kedah memang dirasai setiap tahun bermula awal Januari dan berlarutan hingga penghujung April. Bagi sesetengah penduduk di sini keadaan itu sudah biasa untuk mereka tetapi ada juga kali ini yang mengeluh memandangkan tahun ini antara yang paling panas dihadapi.
Bil elektrik jangan ditanya dalam tempoh dua tiga bulan ini. Kalau dahulu waktu malam sahaja baru pendingin hawa dihidupkan tetapi kini asal berada di rumah alat kawalan jauh sentiasa di tangan untuk menyelaraskan suhu bagi menyejukkan badan.
Tambahan pula ketika ini di bulan Ramadan, dugaan memang terlalu kuat bagi mereka yang melakukan pekerjaan yang terdedah secara langsung kepada matahari. Maka tidak hairan air balang di bazar Ramadan antara paling laris berbanding menu lain.
Ketika ini suhu di negeri ini sedikit menurun, namun rakyat Kedah terus disajikan dengan isu-isu hangat tentang apa yang berlaku di sekitar negeri Jelapang Padi ini antaranya sambungan ‘perang mulut 2S’ antara Menteri Besar dan Menteri Dalam Negeri.
Kedua-dua figura ini pernah menjadi tumpuan utama sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tahun lalu. Satu pihak menyerang, satu pihak mempertahankan diri dan kemudian disusuli serangan balas yang menghangatkan lagi perjalanan proses demokrasi tersebut.
Kini, mereka kembali dengan siri pertikaian antara satu sama lain melibatkan perkembangan projek-projek Kerajaan Persekutuan di Kedah terutamanya pembinaan dan naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) yang terus membelenggu sebahagian besar kawasan penempatan di sini.
Seolah-olah tiada ‘gencatan senjata’ sempena bulan Ramadan, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bertanggungjawab selaku Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah teguh dengan fakta masing-masing.
Saifuddin yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dengan sinis menyindir Sanusi apabila sedia memberi peluang seluasnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu untuk membangunkan gagasan Greater Kedah kerana beliau hanya mahu fokus projek kecil di Kedah.
Walaupun baru-baru ini, Sanusi memberi alasan ‘sedang berpuasa’ kerana tidak mahu mengadakan sidang akhbar bagi menjawab isu semasa seperti kelaziman selepas Mesyuarat Exco, beliau rupanya tidak dapat bertahan lama apabila tampil menukilkan coretan di Facebook miliknya.
Beliau meminta Saifuddin belajar menghormati bidang tugas orang lain dan bekerja mengikut sistem sedia ada serta bidang kuasa masing-masing. Walaupun tak salah untuk melawat projek Persekutuan di Kedah, Sanusi kata projek itu ada penguasanya yang perlu diikut aturan.
Semua isu ini dilihat berpunca daripada ketiadaan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah yang dibangkitkan Sanusi kerana Saifuddin mendakwa Sanusi sebagai yang tidak boleh dipercayai apabila sering membocorkan maklumat mesyuarat di pentas ceramah Pas.
Selain itu, isu panas yang melibatkan Sanusi adalah pembelian kereta rasmi Hyundai Palisade bagi menggantikan dua buah kereta Mercedes-Benz yang dikongsinya sering berhadapan masalah sistem suspensi sehingga memerlukan belanja RM50,000 setiap kali dibaiki dan ada kalanya ranap (rosak) di tengah jalan.
Isu tersebut bertambah hangat kerana timbul di tengah-tengah isu 24 kakitangan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) yang tidak dibayar gaji antara enam ke sembilan bulan berikutan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) itu tidak dapat menjana pendapatan sendiri.
Sanusi dengan tegas memberitahu beliau sama sekali tidak akan menggunakan duit rakyat Kedah bagi melunaskan tunggakan gaji berjumlah lebih RM500,000 itu tetapi pada masa sama sedia mempertimbang pinjaman kepada KAHB untuk tujuan itu.
Masalah gaji memang boleh memanaskan sesiapa sahaja jika keringat yang diperahnya tidak diendahkan atau dalam erti kata lain kebajikan mereka terabai. Lagi bertambah panas kalau masalah itu berlarutan dalam tempoh yang lama kerana masing-masing ada komitmen yang perlu ditunaikan.
Diharapkan pengumuman Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bahawa tunggakan gaji itu akan diselesaikan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini mampu meredakan suhu panas kakitangan KAHB yang terlibat dan seterusnya dapat menyejukkan hati mereka untuk beraya bersama keluarga walaupun 1 Syawal tahun ini diramalkan cuaca panas berlarutan di Kedah.-UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Kedah.











