KUALA LUMUR: “Nak marah, marahlah!”.
Begitulah ketegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kepada mana-mana pihak yang mempertikaikan kelantangannya mendedahkan sisi hitam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk isu berkaitan kartel yang menjadi darah daging pasukan sejak sekian lama.
Menurut beliau, setiap perkara yang berlaku dalam pasukan tersebut sebenarnya sudah diketahui umum, namun ada sesetengah pihak memilih untuk menafikannya.
Malah, akui Abdul Hamid, beliau menyedari terdapat usaha untuk menjatuhkan dirinya yang melibatkan pegawai tinggi peringkat menengah, namun cubaan tersebut berada dalam keadaan terkawal dan dapat ditangani.
“Saya tiada cita-cita untuk menjadi menteri atau memegang jawatan tinggi. Saya cuma mahu tolong negara ini dengan bercakap benar tentang apa yang berlaku,” kata beliau ketika sesi wawancara bersama Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kelmarin sempena sambutan Hari Polis hari ini.
Abdul Hamid berkata, sekiranya pasukan tersebut masih berada dalam sindrom penafian, maka seseorang itu tidak akan belajar daripada kesilapan lalu.
“Ramai yang marah mengenai isu ini termasuk bekas pegawai, sampaikan ada segelintir itu suami dan isteri daripada warga polis juga membidas tindakan ini kerana saya membuka pekung di dada.
“Saya di sini, hanya mahu wujudkan suasana yang mana orang ramai menghormati dan bergantung kepada PDRM apabila menghadapi masalah.
“Oleh itu, mereka tanpa takut datang minta bantuan dengan kami kerana mereka yakin dengan sistem polis yang berhemah serta berintegriti, selain mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan,” jelasnya
Ditanya motif kartel yang mahu menjatuhkannya, beliau mendedahkan bahawa tindakan kumpulan tersebut kerana mereka ada sifat gila kuasa dan merebut peluang untuk naik pangkat dengan segera.
“Bagi saya masing-masing mempunyai peluang untuk naik pangkat. Saya sentiasa ingatkan tentang perlunya nilai-nilai seperti amanah, jujur, rajin dan berhemah.
“Sementara masih memakai baju biru ini, kita rasa cukup gah, cukup kuasa, namun satu hari nanti kita akan sampai titik persaraan. Masa itu bila berdepan situasi diherdik, dimaki serta diugut, tiada guna sesalan kerana kita sama-sama menyuburkan budaya yang tidak baik,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau tetap bersangka baik terhadap barisan pelapis supaya tidak meneruskan budaya yang tidak sihat tersebut sebaliknya, mengamalkan nilai-nilai integriti dalam melaksanakan setiap tugasan.
Kata beliau, sejak memimpin PDRM, didapati amalan integriti meningkat terutama dalam kes membabitkan jenayah judi, maksiat, dadah, penyeludupan.
“Saya nak mengubah imej PDRM menjadi lebih baik melalui peningkatan amalan integriti dalam kalangan pegawai, selain mengurangkan remeh-temeh dalam urusan rasmi dan tidak rasmi serta menyegerakan setiap aduan yang diterima tanpa mendirikan halangan agar pelaksanaan tugas dapat dijalankan dengan baik,” katanya.
Justeru, orang ramai tidak perlu takut untuk membuat aduan ke balai polis kerana mereka akan dilayan dengan adil dan saksama. – UTUSAN










