‘Berani kerana benar…’ - Utusan Malaysia

‘Berani kerana benar…’

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

SAAT melangkah masuk ke pejabat TAN SRI ABDUL HAMID BADOR, mata kami tidak dapat lari daripada memandang almari yang hampir kosong. Difahamkan Ketua Polis Negara itu sudah mula mengemas sedikit demi sedikit barangan miliknya berikutan tempoh perkhidmatannya akan tamat pada 4 Mei ini.

Beliau yang berusia 63 tahun masih lagi menghabiskan sisa-sisa akhir perkhidmatannya dengan memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa mengenal penat lelah mahupun mengeluh.

Sehingga saat ini, beliau masih lantang menyuarakan sisi buruk pasukan polis walaupun mendapat kecaman kerana baginya, ia adalah cara untuk membersihkan budaya kuno yang sudah berzaman bersarang dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan MASZUREEN HADZMAN serta jurufoto FAUZI BAHARUDIN, beliau berkongsi pendapat, mentransformasi PDRM bukanlah perkara mudah kerana budaya bodek, rasuah serta memakan habuan sudah berlaku sekian lama dan sudah menjadi darah daging. Namun, ia berjaya dikawal dengan baik sejak setahun lalu apabila amalan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota menunjukkan peningkatan ketara.

Sempena sambutan Hari Polis Ke-214 hari ini, Abdul Hamid berharap usahanya mendidik pegawai dan anggota PDRM untuk bersikap jujur dan amanah dalam melaksanakan setiap tugasan tetap diteruskan walaupun tampuk pimpinan silih berganti.

Ikuti temu bual di pejabat beliau di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, kelmarin.

UTUSAN: Apa signifikan sambutan Hari Polis kepada Tan Sri?
ABDUL HAMID: Hari Polis yang disambut 25 Mac setiap tahun adalah hari di mana kita mengimbau prestasi sepanjang tahun lalu dengan melihat kejayaan-kejayaan termasuk pelaksanaan dasar-dasar.

Ia juga bagi memperingati dan sebagai penghormatan terhadap jasa pegawai dan anggota terdahulu ketika menghadapi zaman gelap menentang pengganas komunis. Itulah peristiwa berdarah bagi negara kita. Jasa dan pengorbanan mereka perlu diingati. Begitu juga dengan pegawai-pegawai sebelum saya yang banyak menabur bakti untuk keselamatan negara.

Apa perubahan besar sepanjang memegang jawatan penting dalam PDRM?
Saya mendapati wujudnya peningkatan integriti dalam kalangan pegawai. Saya telah membawa budaya baharu untuk mengurangkan remeh-temeh dalam urusan rasmi dan tidak rasmi seperti pendekatan menyegerakan tindakan tanpa perlu mendirikan halangan supaya apa juga dasar atau tugas dapat berjalan lancar tanpa gangguan.

Budaya membodek juga berjaya dikurangkan dengan ketara sekali. Saya yakin tiada yang membodek saya. Orang yang berjumpa saya rata-ratanya ikhlas. Tiada lagi amalan mengampu dengan hadiah atau menawarkan perkhidmatan luar daripada urusan rasmi.

Pada masa sama, saya juga menekankan kepentingan komunikasi dua hala antara anggota supaya mereka dapat menyuarakan apa juga kesulitan, kesempitan atau masalah agar disampaikan ke pihak atasan untuk tindakan segera.

Saya turut mendapati dasar untuk menggalakkan setiap pegawai, pemerintah, ketua polis negeri dan daerah serta komander dalam memberi kerjasama dengan wartawan disahut baik apabila banyak laporan di media arus perdana memaparkan kisah kejayaan polis, yang mana ia amat penting bagi mendidik dan menyedarkan orang ramai berhubung kepentingan integriti dalam kalangan anggota.
Ia boleh dilihat melalui tindakan-tindakan penguatkuasaan dari segi judi, maksiat, dadah dan penyeludupan. Ini kerana ia dianggap sebagai lubuk emas sebelum ini. Jika mahu buat duit, ini dia.

Namun, sejak setahun ini, saya perhatikan kejayaan yang disumbangkan oleh Jabatan Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam meningkat dengan ketara.

Sebagai contoh, satu serbuan dibuat oleh Jabatan Narkotik di Johor berjaya dilakukan dengan jujur dan integriti apabila barang rampasan berupa dadah dan wang tunai bernilai RM2 juta yang bertaburan di lantai direkodkan dalam laporan tanpa ketirisan.

Jika seseorang anggota tidak berintegriti, dia akan mengambil wang tersebut dan mefaraidkan wang tersebut sesama sendiri, namun sebaliknya mereka tampil menyatakan hal itu dalam laporan polis.

Melihat wang bernilai RM9 juta, RM200,000, RM500,000 menjadi kebiasaan ketika membuat rampasan dan tangkapan. Kini, wang-wang tersebut tidak lagi hilang. Ini tanda-tanda integriti dalam kalangan anggota polis sudah meningkat.

Sebelum ini ada cerita-cerita yang mendakwa apabila Jabatan Narkotik membuat serbuan, bukan sahaja duit, dadah pun boleh hilang. Misalnya, mereka merampas 100 kilogram (kg) dadah tetapi hanya merekodkan 90 kg. Saya tidak boleh mengiakan (berlaku) kerana tiada kes yang didakwa tetapi mana mungkin kalau tiada angin, pokok boleh bergoyang.

Ada suara-suara bercakap, PDRM terlalu membuka pekung sendiri. Komen?
Orang sebegini hanya duduk dalam angan-angan sendiri, sedangkan ia (sesuatu isu) sudah menjadi pengetahuan umum. Bagaimana mahu elak? Mereka ini masih lagi tidak sedar dengan perkembangan zaman dan mempunyai sindrom penafian.

Hak orang ramai untuk mengetahui tentang sesuatu perkara dan pada masa sama untuk menyedarkan warga PDRM supaya lebih sensitif. Banyak isu yang orang awam sudah tahu tetapi malu untuk bercakap.

Apa yang saya lakukan sepanjang pimpinan ini dilakukan dengan ikhlas tanpa sebarang niat untuk menyambung perkhidmatan selepas tamat kontrak pada 4 Mei ini.

ISU KARTEL, JHO LOW, KOREA UTARA

Nampaknya isu kartel dalam kalangan pegawai PDRM masih lagi panas. Pandangan Tan Sri?
Ramai yang marah mengenai isu ini. Saya ada mesej untuk mereka, sampai bila kita mahu berada dalam sindrom penafian? Kita tidak akan belajar daripada kesalahan lepas jika tidak mengaku kesalahan yang dilakukan, kemudian buat penambahbaikan. Nak marah, marahlah! Saya tiada cita-cita untuk menjadi menteri atau memegang jawatan tinggi. Saya cuma mahu tolong negara ini dengan bercakap benar tentang apa yang berlaku.

Saya tidak mahu polis menjadi alat untuk mengekang orang ramai daripada tampil ke depan. Saya mahu wujudkan suasana yang mana orang ramai menghormati dan bergantung kepada PDRM apabila menghadapi masalah. Mereka sanggup berjumpa anggota kerana yakin dengan sistem polis yang berhemah serta berintegriti, selain mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan.

Ada kemungkinan isu kartel akan kembali di bawah pimpinan baharu?
Saya difahamkan, pada masa ini ia membabitkan pegawai tinggi peringkat menengah yang dibelenggu dan terpalit dengan budaya yang tidak sihat. Bagi saya, masing-masing mempunyai peluang untuk naik pangkat.

Saya harus bersangka baik dengan barisan pelapis yang ada. Saya sentiasa ingatkan tentang perlunya nilai-nilai seperti amanah, jujur, rajin dan berhemah. Sementara masih memakai baju biru ini, kita rasa cukup gah, cukup berkuasa, namun satu hari nanti kita akan sampai titik persaraan. Masa itu bila berdepan situasi diherdik, dimaki serta diugut, tiada guna sesalan kerana kita sama-sama menyuburkan budaya yang tidak baik.

Tan Sri pernah berjanji akan menangkap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low. Namun, sehingga kini lelaki itu masih bebas. Adakah misi tersebut gagal?
Usaha saya berterusan tetapi menghadapi kekangan tertentu. Dia berada di luar negara dan negara itu tidak memberi kerjasama sebagaimana lazimnya sesebuah organisasi kepolisan apabila berurusan dengan sesebuah negara atas landasan polis antarabangsa (interpol) atau hubungan baik dua negara. Selalunya permintaan untuk menangkap (pesalah) dipenuhi tetapi dalam kes ini, saya tidak melihat kerjasama langsung. Sebelum itu, saya amat yakin. Saya sendiri pergi ke luar negara untuk berunding tetapi di sebalik janji-janjinya, ia gagal.

Kita sudah menulis surat rasmi kepada kedutaan dengan nyata, terang dan jelas. Mustahillah sebuah negara yang memiliki kelebihan teknologi canggih tidak dapat mengesan geng penipu dan perompak tersebut.

Saya mengaku yang saya gagal tetapi pada waktu sama, saya tidak kenal penat lelah untuk terus berusaha membawa Jho Low balik.

Jika dia bersembunyi di negara ini, malam ini juga saya akan tangkap. Sayangnya, dia berada di sebuah negara asing dan bantuan yang diharapkan tidak diberikan dengan pelbagai alasan seperti tidak mengetahui kedudukan penjenayah itu.

Pun begitu, saya tidak cuai. Saya berusaha bukan setakat melalui PDRM tetapi dengan bantuan Wisma Putra, namun tiada respons di pihak negara berkenanaan.

Bagaimana tindakan Korea Utara yang mengugut kita selepas rakyatnya, Mun Chol Myong gagal dalam rayuan akhir untuk menentang perintah ekstradisi ke Amerika Syarikat (AS)?
Kita perlu mengambil kira latar belakang negara tersebut yang sentiasa dilihat kontroversi di kaca mata dunia. Justeru, Malaysia mengambil pendekatan untuk terus berhati-hati terhadap apa jua kemungkinan.

Jika dilihat pada awal 1980-an, Korea Utara bertindak membunuh menteri-menteri Korea Selatan. Begitu juga dengan kes Kim Jong-nam (abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-un yang mati selepas terkena bahan kimia agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2017). Dari situ kita sudah boleh buat kesimpulan.

Ada menyatakan dia Mun Chol Myong) seorang perisik?
AS yang mendakwa demikian (mengatakan perisik). Kita tidak cakap begitu. Kita hanya nyatakan bahawa penjenayah itu terlibat dengan pengubalan wang haram.
Jika dilihat sememangnya wujud sengketa antara Korea Utara dan AS. Tindakan Korea Utara mempertahankan rakyatnya tidak disenangi AS. Secara teknikal, kedua-dua negara itu masih berperang dan tiada hubungan baik.

Adakah penjenayah yang tinggal di Malaysia itu dianggap individu penting?
AS menghendakinya kerana kesalahan yang dibuat dan negara itu mempunyai hak. Kita pula perlu memenuhi perjanjian undang-undang antara Malaysia dan AS. Malaysia tidak akan menyambung siasatan kerana kes dilakukan di Singapura. Biarlah negara itu yang siasat.
Bagi Malaysia, kita tidak bermusuh dengan Korea Utara. Mereka yang memutuskan hubungan. Terpulang kepada mereka. Kerajaan kita cukup bersangka baik memandangkan kedudukan negara ini amat strategik. Negara kuasa besar mahu jadikan Malaysia sebagai negara satelit iaitu menjalin persahabatan baik. Pun begitu, kita mempunyai dasar luar yang cukup bijak iaitu berbaik dengan semua negara dengan mengamalkan dasar ASEAN, negara berkecuali dan negara Islam.

AMANAT

Adakah benar dakwaan PDRM menjadi alat politik individu tertentu?
Sama sekali tidak. Sudah dua kali saya berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beliau memberi amanat agar PDRM dijaga dengan baik supaya tidak diselewengkan.

Pada masa sama, saya sendiri akan pastikan pasukan ini tidak menjadi alat untuk mengugut pihak tertentu.

Harapan Tan Sri?
Saya mahu PDRM menjadi pasukan yang disanjung dan dihormati oleh orang ramai, selain menjadi sebuah pasukan yang profesional, mendaulatkan dan menguatkuasakan undang-undang yang adil tanpa mengira agama dan bangsa serta menjadi tempat untuk rakyat mengadu serta mendapat pembelaan. Saya juga mahu warganya bersikap amanah, jujur dan integriti.

BALIK KAMPUNG

Perasaan menghampiri persaraan?
Saya bersyukur hampir menamatkan kontrak. Saya ingin melihat ke hadapan lagi. Saya sudah bersedia untuk menyerahkan tampuk kepimpinan kepada barisan pelapis. Saya amat bersedia.

Perancangan selepas ini?
Saya mahu balik kampung di Rembau, Negeri Sembilan dan mengusahakan kebun sayur. Ia adalah hobi yang menyihatkan dan menguntungkan. Saya mahu usahakan kebun dengan niat untuk berniaga secara komersial.

BANGGA JADI ‘ORANG’ TUN M

Tan Sri dikaitkan sebagai ‘orang’ Tun Dr. Mahathir Mohamad. Komen?
Saya bangga. Saya dipanggil Mata Biru. Dr. Mahathir tidak pernah mengarahkan saya untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, sebaliknya mengingatkan saya supaya menjaga PDRM dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan lalu. Saya juga dipesan agar tidak menjadikan PDRM sebagai alat untuk aniaya mereka yang tidak bersalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×