Johor pasang 231 stesen pengawasan kualiti air sungai - Utusan Malaysia

Johor pasang 231 stesen pengawasan kualiti air sungai

LING TIAN SOON (kanan) dan Dr. Mohd. Famey Yusoff melihat anggota JAS menguji sampel air pada Op Gempur Raya di Kawasan Perindustrian SILC, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 231 stesen pengawasan kualiti air sungai dipasang di seluruh negeri ini bertujuan mencegah insiden pencemaran alam sekitar seperti di Sungai Kim Kim daripada berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, stesen pengawasan itu dipasang di kawasan tumpuan, khususnya yang menempatkan banyak kilang.

Menurutnya, 227 daripada stesen pemantauan tersebut dikawal secara manual, manakala empat yang lain secara automatik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seperti sedia maklum terdapat 14 sungai di Johor yang tercemar. Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah mengambil inisiatif untuk berusaha meningkatkan kualiti air di sungai-sungai berkenaan.

“Kita ambil sampel di semua stesen tersebut untuk pantau kualiti air. Kita juga sedang berusaha untuk tambah lagi jumlah stesen pengawasan, selain membuat ujian sampel secara lebih kerap untuk memastikan kualiti air terjamin,” katanya selepas meninjau salah satu lokasi Op Gempur Raya Cegah Pencemaran Sempena Musim Perayaan di sebuah kawasan perindustrian, di sini hari ini yang turut disertai Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff.

Menerusi inisiatif tersebut, sebanyak 126 sungai dan 23 lembangan akan dipantau.

Sementara itu, Tian Soon turut memberitahu, Op Gempur Raya yang dijalankan selama empat hari bermula 1 April lalu menyaksikan 50 pemeriksaan premis dijalankan JAS Johor di seluruh negeri.

“Daripada jumlah tersebut, 30 syor kompaun telah dikeluarkan terhadap premis yang dikenal pasti berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar dengan anggaran setiap kompaun berjumlah RM2,000. Operasi ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap usaha membendung pencemaran alam sekitar khususnya ketika musim perayaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihatkan penggemar makanan laut agar berwaspada dengan pengambilan kupang ekoran beberapa laporan keracunan yang berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

“Di Johor kita belum ada terima laporan tentang keracunan akibat kupang, tetapi disebabkan lokasinya agak dekat jadi pengguna perlu berhati-hati. Periksa warna dan bau terdahulu sebelum memakannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×