ISNIN lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi ke Perlis untuk lawatan kerja ke negeri ini. Ini kali kedua Anwar ke Perlis yang disambut penuh mesra oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli. Kedua pemimpin utama negara dan negeri itu cukup serasi.
Malah, Anwar dalam ucapannya dalam majlis berbuka puasa di Felda Chuping sempena lawatan tersebut juga memaklumkan bahawa beliau cukup selesa datang ke negeri ini meskipun berstatus negeri pembangkang.
Kata Anwar lagi, hubungan antara Pusat dan negeri cukup akrab serta sangat baik. Beliau selesa, tidak ada masalah untuk berbincang dengan Kerajaan Negeri Perlis khususnya berkaitan ekonomi dan pembangunan negeri ini.
Malah, dalam kunjungan separuh hari itu juga, Anwar turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi projek Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) Wang Kelian.
Manakala projek pembangunan besar lain seperti mesin pengimbas di Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bernilai RM40 juta, pembinaan jambatan Sungai Baru selain peruntukan mengurus bernilai kira-kira RM100 juta akan segera diangkat ke mesyuarat di peringkat Kabinet dan diharap segera diluluskan.
Apabila hubungan antara negeri dan pusat berjalan dengan baik seperti yang berlaku ketika ini, ia secara tidak langsung bakal memberi manfaat cukup besar kepada negeri dan rakyat secara keseluruhannya.
Itu juga antara kesan pendekatan terbuka, sederhana dan lembut ditunjukkan Menteri Besar yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri itu sehingga memberi impak cukup positif dalam mengeratkan hubungan kerajaan negeri dan Pusat.
Dalam lawatan kerja itu, Anwar hadir bagi mendengar taklimat pembangunan negeri. Taklimat selama satu jam yang dipengerusikan beliau itu juga menyentuh pelbagai isu dan keperluan pembangunan di Perlis.
Antara yang dibincangkan seperti projek Dataran Kuala Perlis, Pasar Pelancongan Kuala Perlis dan pembinaan jalan bagi menghubungkan Jalan Pesisiran Pantai (R152) ke Kuala Sanglang selain penyelenggaraan gerai dan kiosk di seluruh negeri ini.
Malah, Menteri Besar turut membangkitkan permohonan peruntukan tambahan bagi projek ICQS Wang Kelian, mesin pengimbas di pelaburan darat Perlis serta peruntukan mengurus bagi kerajaan Perlis.
Selepas itu, kedua-dua pemimpin berkenaan meluangkan masa kira-kira 20 minit menyantuni peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Persiaran Wawasan di Kangar sebelum bersama-sama menyertai Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri ini di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping.
Mohd. Shukri dalam ucapannya pada majlis berbuka puasa itu berharap agar hubungan baik kerajaan negeri dan kerajaan Pusat dapat dikekalkan dan diperkembangkan lagi demi manfaat semua pihak.
Kata Mohd. Shukri lagi, usaha bagi mengekalkan hubungan baik itu dapat mengembangkan pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat keseluruhan.
BENTANG PROJEK
Malah ujarnya yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, menerusi pertemuan bersama Perdana Menteri itu, kerajaan negeri juga telah diberi peluang untuk membentangkan senarai projek berimpak tinggi kepada kerajaan Persekutuan.
“Projek berimpak tinggi ini dapat merancakkan ekonomi disamping meningkatkan pendapatan negeri dan kesejahteraan rakyat secara bersama. Saya juga bersyukur kerana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri mempunyai hubungan baik yang perlu dikekalkan,” katanya.
Ketika ditemui selepas majlis itu pula, Mohd. Shukri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan semua permohonan pembangunan negeri walaupun hanya separuh hari sahaja berada di Perlis.
“Semua projek yang dimohon itu mempunyai nilai besar yang akan dibawa ke mesyuarat Kabinet melibatkan jumlah ratusan juta ringgit,” katanya.
Perkembangan tersebut dilihat cukup positif untuk Perlis dan semoga hubungan Pusat dan negeri ini terus dieratkan demi kepentingan rakyat dengan mengenepikan perbezaan politik.-UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Perlis.











