300 penunggang terima minyak percuma - Utusan Malaysia

300 penunggang terima minyak percuma

Minyak percuma
CHEREMI Mohd. Tarman bergambar bersama penerima minyak petrol percuma dan pengurusan MBSA pada program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma di Stesen Minyak Petronas Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 300 penunggang motosikal berpeluang mengisi minyak secara percuma sumbangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena kempen kesedaran keselamatan jalan raya.

Datuk Bandarnya, Cheremi Mohd. Tarman berkata, kempen tersebut diadakan ketika musim perayaan yang menjadi kemuncak pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, program tersebut diadakan pihak berkuasa tempatan itu (PBT) pada setiap tahun dan memilih bulan Ramadan sebagai peluang untuk menyumbang kepada penunggang motosikal.

“Pada musim perayaan sebelum ini pihak MBSA sering mengadakan kempen kesedaran keselamatan jalan raya dengan pemberian helmet percuma. Sumbangan minyak petrol percuma maksimum RM10 kepada 300 penunggang motosikal.

“Dalam keadaan sekarang, kos hidup yang tinggi termasuk kos pengangkutan menyebabkan penggunaan motosikal meningkat. Justeru kita menganjurkan program ini hari ini,” katanya pada program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma.

Sementara itu seorang kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Shamsul Hidayat Omar berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan minyak  percuma dengan datang awal ke lokasi program tersebut.

Menurutnya yang tinggal di Seksyen 16 itu, dengan isian RM10 itu mampu bertahan seminggu memandangkan tempat kerjanya di UiTM Shah Alam hanya melibatkan perjalanan 6 km pergi dan balik.

“Bagi saya program sangat baik dan amat membantu kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos minyak petrol yang boleh mencecah RM40 hingga RM80 sebulan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×