ARAU: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu di negeri ini memberi kelegaan khususnya kepada pesawah apabila bendang mereka kembali dipenuhi air sekali gus memudahkan penanaman padi dijadualkan bermula pertengahan bulan ini.
Sebelum ini, ada sesetengah bendang kering-kontang berikutan cuaca panas melampau kerana lebih dua bulan tidak hujan.
Perkembangan terkini memberi semangat kepada pesawah memulakan musim baharu tanaman selepas melihat hujan beberapa hari lalu dengan kelmarin paling lebat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Dimat Kamis,70, berkata, hujan lebat sejak beberapa hari lalu melegakan apabila sawah kini dipenuhi air.
Menurutnya, dia akan melakukan kerja-kerja awal pembersihan kawasan untuk penanaman sebelum menabur benih padi.
“Sudah lebih dua bulan cuaca sangat panas dan memberi kesan kepada kawasan tanaman padi sehingga tanah kering-kontang. Alhamdulilah, meskipun pada sebelah pagi dan tengah hari masih panas namun hujan mula lebat pada sebelah petang sejak empat hari lalu,” katanya.
EMPANGAN
Sebelum ini dilaporkan, cuaca panas menyaksikan empangan Timah Tasoh yang berfungsi sebagai takungan bekalan air domestik, pengairan pertanian dan tebatan banjir di negeri ini menyusut kepada 27.68 meter dengan baki kapasiti empangan pula hanya tinggal sekitar 59.24 peratus iaitu bersamaan 23.61 juta meter padu.
Penurunan itu direkodkan sehingga 20 Mac lalu dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) empangan berkenaan, bekalan air bagi tujuan pengairan tanaman akan dihentikan apabila ia mencapai paras 27.10 meter sekali gus bakal memberi kesan kepada 3,075 hektar kawasan tanaman padi di negeri ini.
Sebagai rekod, empangan Timah Tasoh yang berkeluasan 20 kilometer persegi itu dapat menampung kapasiti takungan sebanyak 40 juta meter padu dengan kedalaman aras normal pula ialah sekitar 29.1 meter.
Seorang lagi pesawah, Zaidi Nasir,35, berkata, dia sudah bersedia untuk kerja-kerja penanaman padi selepas bendang kembali dipenuhi air.
“Jika sawah kering kontang dan tanah merekah ia menyukarkan kami untuk melaksanakan kerja-kerja penanaman padi ini. Alhamdulilah hujan kembali membasahi bumi Perlis,” katanya. – UTUSAN










