UMNO Kedah nafi kerajaan BN berhutang RM200 juta - Utusan Malaysia

UMNO Kedah nafi kerajaan BN berhutang RM200 juta

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah yang ditadbir Barisan Nasional (BN) antara 2013 hingga 2015 tidak berhutang dengan Kerajaan Persekutuan bagi membayar gaji kakitangan negeri seperti didakwa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah itu kononnnya BN Kedah pada waktu itu meminjam RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan juga tidak benar.

“Saya amat terkejut dengan kenyataan dibuat Sanusi berhubung hutang yang dipikul kerajaan negeri kononnya sejak zaman kerajaan BN. Apa yang dituduh Sanusi adalah tidak benar, hutang RM200 juta tersebut adalah geran daripada Kerajaan Pusat tanpa perlu dibayar balik bagi membantu Kedah.

“Hakikatnya kerajaan negeri pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dan Sanusi sebagai Setiausaha Politiknya yang meminjam bagi membiayai Kolej Insaniah yang diambil alih Pas untuk ditukar menjadi Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru beliau mendakwa, Muhammad Sanusi telah memanipulasi fakta berkaitan hutang berkenaan untuk mengangkat dirinya dan pimpinan Pas negeri.

Sementara itu ujar Shaiful Hazizy, beberapa kerajaan negeri antaranya Kedah turut menerima geran berjumlah RM200 juta, Perak (RM50 juta), dan Kelantan (RM400 juta) ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui Kerajaan Persekutuan pada 2018

“Hal ini membuktikan, apa yang didakwa Sanusi adalah penipuan. Beliau cuba menyembunyi fakta bahawa kerajaan negeri merekodkan hutang dengan Kerajaan Persekutuan adalah sewaktu beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Ustaz Azizan.

“Malah ketika saya menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Ahmad Bashah, prestasi kewangan negeri pada tahap sangat baik dan membanggakan,” katanya.

Ujar beliau, ketika itu tidak pernah kakitangan syarikat anak negeri mengeluh tidak dibayar gaji selama tujuh bulan dan tidak pernah berlaku penangguhan dari syarikat luar negeri untuk melabur ke Kedah.

Malah, Shaiful Hazizy berkata, tidak pernah juga mana-mana kakitangan disiasat dan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang berlaku pada era pentadbiran Muhammad Sanusi.

“Prestasi Sanusi mengetuai negeri Kedah adalah pada tahap yang gagal dan sangat buruk. Sehinggakan tiada pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan negeri sempena Aidilfitri ini, apa lagi yang hendak beliau banggakan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×