Kereta Api Borneo: Syarikat Brunei minat, Malaysia belum buka

Kereta Api Borneo: Syarikat Brunei minat, Malaysia belum buka

ANTHONY Loke menandatangani plak Sijil Penarafan Gred Terminal selepas merasmikan Pusat Pengangkutan Terminal KLIA2 dan Kempen ‘Relax, Reunite & Be Rewarded’ di Gateway@KLIA2 di Sepang, semalam. –UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pengangkutan belum dimaklumkan berhubung cadangan sebuah syarikat berpangkalan di Brunei yang berhasrat untuk melaksanakan projek kereta api berkelajuan tinggi pertama di Borneo.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Projek Kereta Api Trans Borneo masih belum dibuka kepada mana-mana syarikat, malah tawaran untuk kajian kebolehlaksanaan hanya akan dibuka untuk tender pada Mei depan.

“Kalau mereka kata hendak bina landasan kereta api di Sabah dan Sarawak sudah tentu perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan dan kerajaan negeri.

“Jadi setakat ini belum ada apa-apa kelulusan dan tidak pernah pun kita berunding dengan syarikat tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pengangkutan Terminal KLIA2 dan Kempen ‘Relax, Reunite & Be Rewarded’ di sini semalam.

Kelmarin, sebuah syarikat di Brunei membuat pengumuman menerusi laman sesawangnya yang mendakwa pelaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo akan melibatkan dua fasa dengan jarak laluan sejauh 1,620 kilo­meter.

Fasa pertama akan menghubungkan bandar-bandar dari barat ke pantai Timur bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

Fasa dua pula melibatkan Kalimantan Utara dan Timur meng­hubungkan laluan utama dengan Samarinda dan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.

Dalam pada itu, Anthony Loke turut menasihati semua pihak supaya lebih berwaspada dengan sebarang pengumuman yang dibuat oleh mana-mana syarikat swasta berkaitan projek-projek besar.

“Projek mega seperti ini ha­nya sahih sekiranya diumumkan oleh pihak kerajaan.

“Kementerian masih (belum) memuktamadkan dokumen tender, tender pun belum dipanggil untuk kajian kebolehlaksanaan. Jadi kita menjangkakan kajian itu akan mengambil masa sembilan bulan, baru kita tahu sama ada boleh dilaksanakan atau tidak dari segi komersial, teknikal dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×