BAGAN SERAI: Demi kepuasan pelanggan, seorang peniaga bazar Ramadan di sini sanggup berkereta sejauh hampir 400 kilometer dari Bagan Serai ke Cameron Highlands seminggu sekali bagi membeli buah strawberi segar di tanah tinggi di negeri Pahang itu.
Buah berkenaan kemudiannya diproses menjadi air strawberi yang dijual kepada pelanggan di bazar Ramadan Bagan Serai.
Peniaga tersebut, Muhammad Al Bukhari Ellia, 26, berkata, dia sanggup meredah perjalanan sejauh 392 kilometer dari Bagan Serai ke Cameron Highlands seminggu sekali bagi mendapatkan stok bekalan buah strawberi segar untuk diproses menjadi air minuman.
“Saya sanggup meredah perjalanan sejauh itu bagi memenuhi hasrat pelanggan tetap yang mahukan air daripada buah yang segar.
“Ramai pelanggan tetap saya sedia maklum air strawberi yang saya jual dihasilkan seratus peratus daripada buah strawberi tanpa menggunakan sebarang perisa tambahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, menggunakan bahan segar merupakan antara cara untuk dia memastikan jualannya terus menjadi pilihan pelanggan.
Katanya, ini kerana di bazar tersebut terdapat 37 peniaga minuman pelbagai perisa mengikut kreativiti peniaga masing-masing.
“Kami bersaing secara positif bagi menjadikan jualan kami sebagai pilihan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad berkata, hasil pendapatan daripada jualan air pada Ramadan kali ini agak merosot, tidak seperti tahun lalu.
“Tahun lalu saya boleh menjual 15 hingga 20 kilogram buah strawberi tapi tahun ni hanya sekitar lima kilogram sahaja sehari.
“Saya cuba kekalkan pelanggan dengan mempelbagaikan jualan berasaskan buah strawberi seperti jus air strawberi, strawberi coklat dan menjual buah strawberi pada harga berpatutan,” katanya.










