KUALA LUMPUR : Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor.
Perkara itu dimaklumkan menerusi laman sosial Facebook miliknya, hari ini.
Katanya, keputusan itu dibuat ini kerana beliau melihat perancangan kebangkitan parti itu di Selangor sebagai hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO Pusat.
Tambahnya, apa yang berlaku di UMNO Selangor bertentangan dengan usaha Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan parti yang tidak henti-henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat Pusat.
“Namun, sejauh mana hebat perencanaan Pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah. Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di Pusat.
“Pendekatan dan prinsip saya mudah, kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan. Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif,” katanya lagi. – UTUSAN











