PETALING JAYA: Malaysia berisiko menjadi negara muflis jika gagal menangani hutang dengan baik yang saban tahun jumlahnya semakin mengembang sehinggakan nisbahnya dengan perbelanjaan tahunan kini mencecah 60:40.
Sedangkan, nisbah ideal perbandingan hutang dengan perbelanjaan sesebuah negara adalah pada kadar 40:60 sekali gus dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat dengan hasil ekonomi yang positif.
Bagi mengawal dan mengurangkan kebergantungan negara terus berhutang bagi menampung perbelanjaan tahunan, pakar menekankan lima mekanisme penting untuk diambil perhatian oleh kerajaan sekali gus dapat membebaskan negara daripada belenggu hutang.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, lima mekanisme tersebut adalah pungutan cukai, perbelanjaan terhadap projek mega, subsidi bersasar, meningkatkan pelaburan asing ke dalam negara dan pelaksanaan kadar dasar semalaman (OPR).
Menurut beliau, keberkesanan hasil pungutan cukai tahunan dapat membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kerajaan terhadap pinjaman luar pada masa sama membantu melangsaikan hutang jangka pendek yang dilakukan sebelum ini.
PROJEK_PROJEK
“Selain itu, saya melihat amat penting untuk kerajaan menjadi sangat memilih dalam melaksanakan projek-projek mega khususnya dalam belanjawan akan datang. Sebagai contoh, kerajaan mengambil langkah tepat apabila menolak untuk menjadi tuan rumah Sukan Komenwel baru-baru ini.
“Ini kerana, jika sesebuah negara itu menjadi tuan rumah, Jawatankuasa Komanwel hanya memberikan sekitar 10 peratus daripada kos sebenar melaksanakan sukan tersebut yang dijangkakan menelan sehingga RM7 bilion.
“Jangan kerana mahu mengejar nama pada akhirnya kita terpaksa menanggung beban hutang sangat banyak seperti yang sudah dilalui oleh Greece sehinggakan diisytiharkan muflis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Bashir Ahmad berkata, langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar juga mekanisme untuk kerajaan mengurangkan hutang negara kerana perbelanjaan terhadap subsidi menyeluruh sebelum ini memberi tekanan sehingga RM50 bilion setahun kepada negara.
BEBAN
Katanya, jika subsidi berjaya dikurangkan maka kerajaan tidak perlu menanggung beban yang tinggi membayar atau membuat hutang untuk melaksanakan dasar subsidi.
“Jika pelaksanaan subsidi bersasar mampu mengurangkan perbelanjaan kerajaan antara RM25 hingga RM30 bilion setahun maka ia akan mengurangkan tekanan terhadap defisit hutang negara yang sedia ada.
Selain itu, beliau berkata, menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI) ke dalam negara juga mekanisme penting untuk menambah hasil tahunan Malaysia yang memberi pulangan baik sekali gus mengurangkan nisbah hutang.
“Inilah yang sedang dilakukan Perdana Menteri bertemu dengan taikun-taikun global untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan utama mereka. Menurut MITI, hasil lawatan Perdana Menteri ke Jerman baru-baru ini saja boleh berpotensi menarik RM400 hingga RM500 juta,” katanya.
Terakhir, beliau berkata, mengenai pelaksanaan OPR yang bertujuan untuk memperlahankan ekonomi negara. – UTUSAN










