KOTA BHARU: Projek Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) fasa satu yang sebelum ini tertangguh selama setahun akibat serangan pandemik Covid-19 dijangka siap bulan depan.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, walaupun berlaku kelewatan atas beberapa faktor sebelum ini namun projek itu
akhirnya berjaya disiapkan.
Menurutnya, selain itu beberapa projek berimpak tinggi yang lain dijangka siap pada tahun ini.
“Antara projek itu ialah Hospital Bachok, Sekolah Gantian Penuh Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli masing-masing pada Mei dan Wisma Guna Sama Tunjong pada Disember,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Profesional Anak Kelantan 2024 di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP adalah bagi menambahbaik fasiliti serta meningkatkan kapasiti terminal lapangan terbang daripada 1.5 juta penumpang kepada empat mppa (million passengers perannum) dengan kos melebihi RM440 juta.
Walaupun LTSIP tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa atau hub penerbangan serantau, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan ia masih boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa berjadual dan tidak berjadual seperti lapangan terbang domestik lain.-UTUSAN











