Survival UMNO bergantung pada percaturan di Sabah - Utusan Malaysia

Survival UMNO bergantung pada percaturan di Sabah

Keratan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan kenyataan Bung Moktar Radin bahawa UMNO dan Warisan sudah hampir pasti akan bergabung pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO Sabah baru-baru ini memberi bayangan bahawa mereka akan bersama-sama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kemungkinan besar akan diadakan pada tahun ini.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tanpa berselindung mengakui ada berbincang dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Malah perkara itu turut berada dalam pengetahuan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sama ada ibu pejabat UMNO akan membenarkan kerjasama itu atau tidak bakal menentukan hala tuju dan nasib bukan sahaja UMNO Sabah, tetapi kedudukan UMNO secara keseluruhannya.

Yang menjadi dilema sekarang, UMNO Sabah seperti sudah berpecah dua. Satu kumpulan bersama Bung Moktar (lapan Ahli Dewan Undangan Negeri) sudah pun berada di bangku pembangkang bersama Warisan.

Satu kumpulan lagi diketuai Datuk Shahelmey Yahya (empat ADUN) pula kekal menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri. Maknanya, kebarangkalian untuk UMNO bersama dengan Warisan pada PRN akan datang adalah tinggi jika dilihat situasi mereka dalam kerajaan negeri sekarang.

Untuk UMNO kekal relevan dalam politik Sabah dan politik nasional pada ketika ini sangat kritikal. Oleh itu percaturan pada PRN Sabah bakal menentukan sama ada parti yang berusia hampir 80 tahun itu kekal menjadi pilihan rakyat atau berkubur seperti mana yang berlaku di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Demi untuk survival, apakah pilihan yang mereka ada? Adakah bersama-sama dengan Warisan akan menjadikan peluang mereka lebih cerah untuk kekal sebagai parti politik yang relevan di Sabah atau bersama GRS lebih berfaedah.

Bagi pihak Warisan tangan mereka sedia menjalin kerjasama dengan UMNO atas alasan demi kepentingan rakyat di Sabah.

Seperti kata Mohd. Shafie, kesediaan itu berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menganggotai UMNO selama 29 tahun sebelum digantung keahlian pada Julai 2016 dan meninggalkan parti itu 10 hari kemudian.

Adakah UMNO pusat akan membenarkan Sabah membuat keputusan mereka sendiri?
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tegas mengatakan, keputusan siapa rakan parti kerjasama Barisan Nasional (BN) Sabah bagi PRN negeri itu hanya akan diputuskan oleh ibu pejabat parti.

Kata Mohamad, walaupun UMNO Sabah ada autonomi mentadbir namun dalam soal pilihan raya mereka perlu dapat kelulusan daripada ibu pejabat yang kemudian akan tentukan hala tuju parti kita BN.

Walaupun keputusan akhir terletak pada keputusan ibu pejabat, tetapi UMNO kini secara keseluruhannya ibarat telur di hujung tanduk. Kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadikan ia parti yang serba tempang dengan kehadiran mereka hanya ada di enam negeri.

Sebab itu, apa juga keputusan yang dibuat, ia mesti berupaya membantu UMNO Sabah kekal mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Salah percaturan akan menyebabkan parti yang pernah menjadi tunjang kepada pentadbiran negara selama 60 tahun itu akan turut pupus di negeri di bawah bayu.

Ini risiko yang cukup besar yang memerlukan congakan paling teliti dalam kalangan para pemimpin UMNO. Sama ada perlu menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pemimpin di Sabah untuk membuat keputusan dengan siapa mereka akan berpakat, atau bakal kehilangan kuasa di satu lagi negeri.

Kalau dilihat kepada kemerosotan sokongan kepada UMNO sejak PRU11 hingga PRU15, kesan domino kejatuhan UMNO seolah-olah tidak boleh dihalang.

Sama ada sebagai kerajaan negeri atau menyumbang kepada kehadiran wakil rakyat di Parlimen. Ada yang menyifatkan ia satu perkembangan menakutkan kepada perkembangan politik negara.

Dalam tempoh 18 tahun iaitu dari 2004 hingga 2022, UMNO dan BN mengalami krisis keyakinan dalam kalangan pengundi yang dahsyat. Mereka bukan sahaja hilang kepercayaan daripada kalangan pengundi bukan Melayu, malah pengundi Melayu turut menolak parti itu.

Pada PRU12 tahun 2008 jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO/BN adalah 140 merosot sebanyak 30 peratus berbanding 200 kerusi pada PRU11.

Selepas itu pada PRU13 pada tahun 2013, UMNO/BN hilang lagi lapan kerusi menyaksikan mereka hanya menang di 132 kawasan Parlimen. Dan pada PRU14 UMNO/BN dibadai tsunami apabila hilang hampir separuh daripada kerusi Dewan Rakyat yang mereka miliki. Mereka hanya menang 79 kerusi, itu pun jumlah itu tidak bertahan lama apabila 39 ahli Parlimennya lompat parti menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu).

Pembubaran Dewan Rakyat lebih awal sebelum tamat tempoh penggal Parlimen Ke-14 disangkakan akan dapat mengembalikan pengaruh UMNO/BN. Tetapi strategi itu memakan diri apabila pada PRU15 hanya mampu menang 30 kerusi.

Sebanyak 16 kerusi di sumbangkan oleh Johor dan Sabah (iaitu masing-masing sembilan dan tujuh kerusi), Pahang dan Negeri Sembilan masing-masing menyumbangkan lima kerusi selain Perak (tiga) dan Kuala Lumpur hanya satu kerusi.

Kalau dilihat kepada prestasi dari tahun 2004 hingga 2022, kedudukan UMNO boleh diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan. Jika pucuk pimpinan parti mengambil pendekatan yang salah, tidak mustahil selepas PRU16, tidak akan ada lagi wakil UMNO dalam kerajaan pusat mahupun negeri.

Sebab itu keputusan yang diambil dalam menghadapi PRN Sabah sangat penting dalam memastikan survival parti itu dalam menuju ke PRU16. Selepas Johor, pada ketika ini hanya tinggal Sabah yang masih menjadi tongkat menopang UMNO yang tempang sama ada di peringkat nasional mahu pun negeri. Nama UMNO di negeri-negeri yang pernah menjadi kebanggaannya seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang semuanya sudah terpadam menjadi sejarah.

Sebab itu siapa yang bakal berpasangan dengan UMNO pada PRN Sabah kali ini sangat penting dalam menentukan kelangsungan parti itu secara keseluruhannya.

Jika dilihat kepada hasrat Bung Moktar, mereka mahu memastikan UMNO/BN kembali mendapat mandat rakyat bagi mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri dan seterusnya memberi keyakinan kepada parti untuk menghadapi PRU16 di peringkat nasional.

Keyakinan itu berdasarkan kepada UMNO/BN pernah menjadi tunjang kerajaan negeri selama 24 tahun. Tetapi sejarah lampau tidak boleh dijadikan ukuran dalam merancang masa depan terutama dalam situasi politik negara yang semakin kompleks ketika ini.

Mereka perlu tampil dengan kekuatan dan tarikan baharu jika mahu kembali mendapat sokongan pengundi. PRN Sabah akan menjadi ujian sama ada mereka mampu bangkit atau terus tenggelam.

Dan ramai pemerhati melihat, jika salah percaturan di Sabah, nama UMNO bakal terpadam daripada peta politik tanah air selepas PRU16.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×