Padang bola dikenakan sewa, MPHTJ keluar notis peringatan

Padang bola dikenakan sewa, MPHTJ keluar notis peringatan

KAIN rentang yang digantung Kerk Chee Yee di padang bola sepak Taman Ayer Keroh Heights, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pihak yang mengenakan caj sewaan untuk penggunaan padang bola sepak di Taman Ayer Keroh Heights di sini telah diberikan notis peringatan pertama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu dua minggu lalu.

Menurutnya, penguat kuasa MPHTJ telah bertemu dengan pihak terlibat dan mengarahkan supaya tidak lagi berbuat demikian.

“Notis peringatan pertama telah diberikan kepada pihak berkenaan jika perkara yang sama dilakukan, MPHTJ tidak akan teragak-agak untuk mengenakan denda.

“Kita telah maklumkan padang bola sepak di bawah MPHTJ adalah untuk kegunaan awam dan tidak boleh dikenakan caj sewaaan oleh mana-mana pihak kerana ia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee yang menzahirkan rasa kecewa apabila ada pihak mengutip caj sewaan daripada orang ramai yang mahu bermain bola sepak di padang awam.

Chee Yee berkata, kadar yang dikenakan adalah sebanyak RM80 bagi sekali guna yang mana ia disifatkan melampau.

Dalam pada itu, Chee Yee turut menggantung kain rentang di padang berkenaan yang bertulis, ‘Padang awam Ini adalah milik semua. Tiada pihak yang boleh mengutip caj sewaan atas kegunaan padang permainan ini’.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Ayer Keroh Heights, Mohd. Hidir Mohd. Jali berkata, pihaknya tidak pernah mengenakan bayaran untuk penggunaan padang bola sepak itu kepada penduduk sekitar.

Menurutnya, persatuan hanya meminta sumbangan daripada pekerja warga asing yang menggunakan padang pada setiap hujung minggu bagi mengadakan perlawanan.

“Rata-rata warga asing dari Myanmar, Bangladesh dan Nepal bukan tinggal di taman ini, mereka semua duduk di sekitar Ayer Keroh.

“Jadi tidak salah kita minta sumbangan daripada mereka kerana jaring gol kita sediakan dan apabila padang rosak, kita baiki dengan membeli tanah menutup lubang di tengah padang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×