Penganjur Glam Bazar Ramadan Klebang nafi kenakan

Penganjur Glam Bazar Ramadan Klebang nafi kenakan caj parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penganjur Glam Bazar Ramadan Klebang menafikan pihaknya mengenakan caj parkir untuk motosikal dan kereta sejak Ramadan bermula.

Penganjurnya, Abdul Rashid Omar berkata, dakwaan seorang lelaki yang tular dalam media sosial sejak Rabu lalu bahawa pihaknya mengenakan caj parkir motosikal sebanyak RM2 adalah tidak berasas.

Menurutnya, penganjur sama sekali tidak terlibat dengan individu atau pihak yang menggunakan nama Glam Bazar Ramadan Klebang atas tiket parkir berkenaan.

“Lelaki itu mungkin meletakkan motosikalnya di kawasan parkir yang disewa oleh sebuah syarikat swasta berhampiran lampu isyarat laluan Pantai Klebang.

“Saya diberitahu kawasan parkir yang terletak berhampiran Glam Bazar Ramadan Klebang telah diwartakan sebagai tempat parkir berbayar sejak tahun lalu. Parkir yang diviral oleh lelaki berkenaan sebenarnya tidak ada kena mengena dengan pihak penganjur, sebaliknya kawasan itu telah diwartakan sebagai tempat parkir berbayar.

“Sebagai penganjur kita tidak kenakan sebarang caj untuk pengguna motosikal dan kereta meletakkan kenderaan mereka di mana-mana kawasan berhampiran. Malah kita buka parkir baharu di kawasan padang setelah mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), tetapi kita tidak kenakan sebarang caj,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Abdul Rashid, sejak perkara itu tular, pihaknya menerima cemuhan dan rungutan para peniaga bazar.

“Saya berjumpa dengan operator yang mengendalikan parkir berbayar, meminta mereka menurunkan kadar daripada RM5 untuk kereta kepada RM3 dan mereka telah bersetuju,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×