PETALING JAYA: Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Sa’ari Hashim yang cedera diserang gajah liar di Hutan Felda Cerul, Cheneh, Kemaman pada 25 Mac lalu.
Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, pihaknya berharap sumbangan itu dapat meringankan beban ditanggung Sa’ari dan keluarganya.
“Kami mendoakan Sa’ari yang mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan segera sembuh,” katanya.
Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Pemuliharaan MPOGCF, Ahmad Shahdan Kasim, semalam.
Kejadian menimpa Sa’ari berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari ketika Unit Tangkapan Gajah (UTG) Terengganu sedang melaksanakan operasi pemasangan kolar gajah di Hutan Felda Cerul.
Operasi itu dijalankan untuk memantau pergerakan kawanan gajah liar sebagai kaedah amaran awal kepada ladang-ladang kelapa sawit di kawasan tersebut.
Namun, ketika perjalanan pulang, seekor gajah liar keluar dari kawanan bertindak menyerang anggota Perhilitan dari belakang. – UTUSAN











