SEREMBAN: Pemberian tol percuma selama dua hari kepada kenderaan persendirian (Kelas 1) akan diberikan pada 8 dan 9 April ini bersempena perayaan Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pukul 12.01 tengah malam 8 April dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 9 April.
Kata beliau, pengecualian tol ini akan diberikan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Menurutnya, keputusan pemberian tol percuma ini telah dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu dan kerajaan akan memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran RM37.6 juta.
“Dengan pelaksanaan pemberiaan tol percuma ini jumlah kenderaan dijangka meningkat iaitu kira-kira 2.46 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya pada waktu puncak musim perayaan.
“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan persediaan menghadapi pertambahan trafik di Lebuhraya Utara Selatan sempena Aidilfitri di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban Arah Selatan di sini hari ini.
Beliau berkata lagi, pengguna Lebuh Raya Utara Selatan digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) dengan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA.
“Kerana ada peningkatan kenderaan di jalan raya saya gunakan peluang ini untuk menasihatkan pengguna supaya berhati-hati kerana semua mahu bergegas namun jangan leka, mesti mementingkan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Alexander turut memberitahu, bermula 1 April hingga 17 April ini, lorong di lebuh raya juga tidak boleh ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
“Namun kerja-kerja yang tidak memerlukan penutupan lorong tetap boleh dilaksanakan melainkan terdapat kejadian kecemasan seperti kemalangan yang memerlukan pembaikan jalan dilakukan,” katanya.
Beliau turut memberitahu, sebanyak 18 lokasi di Lebuhraya Utara Selatan juga akan diaktifkan laluan Smart Lane yang bertujuan mengurangkan kesesakan semasa musim perayaan nanti.










