KUALA LUMPUR: Bersempena Hari Raya Aidilfitri, kerajaan mengumumkan tol percuma bermula pukul 12.01 tengah malam pada 8 April sehingga 11.59 malam pada 9 April.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, tol percuma itu melibatkan semua lebuh raya utama seluruh negara kecuali plaza tol di sempadan negara, Tol Bandar Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Alexander berkata, inisiatif tersebut akan membabitkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM37.6 juta.
Beliau menasihatkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan sewajarnya dan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan dengan memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA.
“Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian,” katanya. – UTUSAN











