PENDANG: Tradisi bermain wau sempena musim angin timur tidak pernah dilupakan sebahagian besar penduduk negeri ini walaupun berdepan cuaca terlalu panas ketika ini.
Cuma kelainannya, sekumpulan anak muda di Kampung Panchor, di sini memilih untuk menaikkan wau dihasilkan mereka pada waktu malam yang lebih sejuk jika dibandingkan pada sebelah siang.
Menariknya, pelbagai jenis dan saiz wau itu bukan sahaja dilengkapi dengan bunyi tetapi turut bercahaya kerana setiap wau tradisional itu dipasang lampu Diod Pemancar Cahaya (LED).

Seorang penduduk kampung itu, Muhammad Ammar Mohd. Kamal, 24, berkata, tempoh untuk bermain wau juga akan menjadi lebih lama iaitu sekitar empat jam setiap malam sehingga kadang kala menghampiri waktu sahur pada hari cuti hujung minggu.
“Idea bermula memandangkan sekarang bulan puasa, Kedah pula cuaca panas pada siang, jadi kami main waktu malam untuk cari kemeriahan dan sebab itu kami letak lampu, kalau main tanpa lampu memang tak nampak wau.
“Kalau waktu siang cuaca sangat panas, pukul 6.30 petang pun masih panas,” katanya ketika ditemui, semalam.
Muhammad Firdaus Ahmad, 26, berkata, pembuatan wau yang dipasang lampu LED masih sama dengan wau yang kebiasaannya.
“Kami masih menggunakan buluh yang sama, cara meraut dan cantum juga sama cuma tambah lampu LED sahaja,” katanya.
Pengerusi Komuniti Penduduk Kampung Panchor, Muhamad Mohd. Saad berkata, aktiviti itu yang asalnya disertai lima pemain kini sudah mampu menarik hampir 40 orang yang rata-rata penduduk setempat.











