Pendapatan tidak selari punca masyarakat terbeban

Pendapatan tidak selari punca masyarakat terbeban

RAKYAT Malaysia dipelbagai peringkat berdepan tekanan akibatkan kenaikan kenaikan kos sara hidup. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan pendapatan isi rumah yang perlahan dan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup menyebabkan masyarakat dihimpit dengan bebanan hutang yang tinggi.

Felow Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, peningkatan hutang isi rumah kini menjadi satu fenomena dan semakin buruk. 

Katanya, perkara ini bukan sahaja berlaku di negara kita malah seluruh dunia turut menghadapi hal yang sama di mana hutang isi rumah menjadi suatu yang sukar untuk dielak.

“Demi kelangsungan hidup pastinya memerlukan pembelian dan melalui kaedah hutang adalah cara yang paling menjadi pilihan. 

“Trend peningkatan ini bukan sahaja dari tahun 2018, malah telah lama sebelum itu lagi. 

“Kenaikan kos telah memburukkan keadaan dan memaksa isi rumah memilih kaedah tersebut sebagai jalan penyelesaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini dilaporkan sejumlah RM1.53 trilion hutang isi rumah direkodkan setakat akhir tahun lepas, meningkat daripada RM1.45 trilion pada 2022.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pinjaman perumahan merupakan jenis pembiayaan terbesar dicatatkan dengan 60.5 peratus daripada hutang isi rumah.

“Nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2023 pula meningkat sedikit kepada 84.2 peratus berbanding tahun 2018 (82 peratus),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen

Shazida berkata, dasar kawalan terhadap hutang isi rumah perlu diwujudkan bagi memastikan kestabilan kewangan domestik. 

“Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab supaya isi rumah lebih berhemah dan membuat keputusan yang lebih baik dalam menguruskan kewangan.

“Hutang isi rumah ini juga melibatkan pembelian dalam negara dan mungkin secara tidak langsung ia membantu menstabilkan ringgit,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Anuar Shah Bali Mohamed berkata, jumlah hutang isi rumah yang meningkat itu menggambarkan pendapatan rakyat negara ini tidak seiring dengan kenaikan kos sara hidup. 

Menurutnya, ini kerana gaji yang diterima tidak mampu mengimbangi nilai barangan pada masa kini, maka perlu berhutang untuk urusan harian. 

“Kedua, simpanan rakyat Malaysia pun tidak mencapai tahap sepatutnya, jadi apabila simpanan tidak ada, maka hutang berlaku. 

“Individu yang mempunyai simpanan, maka kawal (peningkatan perbelanjaan) dengan simpanan, tetapi mereka yang tidak ada pilihan terpaksa berjimat atau berhutang,” katanya. 

Oleh itu, katanya, pelaksanaan gaji progresif perlu dipercepatkan bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup dan barangan. 

“Apabila gaji progresif dilaksanakan, maka akan bantu sedikit sebanyak. Cuma ada beberapa perkara perlu diberi tekanan supaya harga barangan turut dikawal. 

“Walaupun berlaku kenaikan, tetapi pastikan kenaikan gaji dapat mengimbangi harga barang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×