PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar akan menjalani prosedur rawatan pembedahan kecil membuang kelenjar air liur yang mengandungi batu karang.
Menerusi hantaran di laman sosial X, Mohd Naim berkata, prosedur berkenaan dijangka berlangsung pada pukul 8 pagi tadi.
“Kelenjar ini perlu dibuang untuk mengatasi kesakitan yang saya alami sepanjang minggu ini,” katanya hari ini.
Beliau pada masa sama turut memohon doa agar pembedahan berjalan lancar selain berdoa kesembuhan buatnya.
“Mohon kepada sahabat sekalian untuk mendoakan kejayaan hari ini dan keafiatan saya selepas ini untuk terus beribadah serta melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai menggandakan amal ibadah sempena Nuzul Quran.
Katanya, semua umat Islam diseru bersedekah dan memberi banyak sumbangan khususnya kepada saudara kita di Palestin.
“Semoga ALLAH SWT memberi perlindungan dan keselamatan kepada mereka daripada terus dicerobohi serta dibunuh oleh rejim Israel,” katanya. – UTUSAN











