CALON Melayu dijangka menjadi taruhan bagi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk mengisi kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 06 Kuala Kubu Bharu.
Meskipun kerusi itu sebelum ini disandang oleh mendiang Lee Kee Hiong yang meninggal dunia pada 22 Mac lalu, namun DAP yang mewakili PH di kawasan berkenaan didakwa akan meletakkan calon Melayu yang bernama ‘Syed’ ataupun ‘Sharifah’.
Pelbagai faktor dilihat dan dinilai menjurus ke arah jangkaan tersebut selain isu-isu semasa yang menyentuh soal kumpulan majoriti itu serta agama Islam, jumlah pengundi di kawasan berkenaan yang juga dipelopori orang Melayu sekitar 46 peratus.
Hal sama juga dinyatakan oleh pimpinan Pas Selangor yang menyarankan kawasan tersebut ditandingi oleh calon Melayu apabila ia disifatkan memberi kelebihan kepada PN yang sebelum ini menguasai kumpulan pengundi itu pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.
Antara sentimen-sentimen yang pasti timbul dan boleh mempengaruhi pengundi yang masih hangat seperti isu cetakan kalimah ‘Allah’ pada stoking, sekolah vernakular yang kerap kali dibangkitkan serta pembatalan 16 Enakmen Syariah Kelantan oleh Mahkamah Persekutuan.
Meskipun ketiga-tiga hal itu sudah mendapat perhatian kerajaan seperti Pengerusi KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) dan pengedarnya sudah dituduh di mahkamah, siasatan terhadap Prof. Emeritus Dr. Teo Kok Seong berhubung kenyataannya berkaitan sekolah vernakular dan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum ini mengarahkan jawatankuasa ditubuh bagi menyemak enakmen syariah, namun sentimen-sentimen tersebut masih berlegar.
Ia masih berlegar kerana impaknya disifatkan tidak memihak kepada orang Melayu dan Islam yang masih marah dengan situasi tersebut dan memberi tanggapan seperti pengasas KK Mart masih boleh dibebaskan kerana baru peringkat pertuduhan.
Berkaitan isu sekolah vernakular pula sudah berkali-kali dibangkitkan manakala pembatalan enakmen syariah menunjukkan mahkamah sivil dilihat boleh ‘overrule’ mahkamah syariah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, situasi berkenaan akan mempengaruhi pengundi untuk memilih bakal wakil rakyat mengikut kaum. Walaupun ia dilihat rasis, tetapi tidak mustahil ia menjadi manifestasi rakyat.
Selain itu, apabila dilihat dari sudut komposisi pengundi, daftar pengundi DUN tersebut berdasarkan kaum, meskipun seimbang, kelompok Melayu dan bumiputera adalah paling ramai mencecah 50 peratus yang turut disumbang oleh Orang Asli sebanyak 1.3 peratus.
Sementara pengundi Cina dan India pula 48 peratus daripada jumlah 40,015 orang.
Berdasarkan daftar pengundi PRN tahun lalu, pengundi Orang Asli di Kuala Kubu Bharu adalah ketiga paling ramai selepas Sijangkang dan Batang Kali serta mempunyai dua Pusat Daerah Mengundi (PDM).
CALON CINA
Namun, faktor-faktor sedemikian tidak menghalang calon Cina untuk diketengahkan jika PH atau PN yakin dapat menguasai pengundi kumpulan itu secara solid di samping sokongan sebahagian pengundi Melayu dan begitu juga sebaliknya.
Berhubung isu sensitiviti yang berlegar, Pas Selangor pula bersama PN mengambil sikap berdiam diri kerana enggan dilihat seperti mencari ‘political mileage’ atas isu tersebut, malah Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Abdul Halim Tamuri menegaskan mereka melihat perkara yang lebih besar berbanding masalah terbabit.
“Penghinaan kalimah Allah sememangnya suatu isu, tetapi terdapat perkara lebih besar daripada itu iaitu bagaimana menangani masalah tersebut dan memastikan Islam dan agama lain di negara ini dihormati antara satu sama lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Pas Selangor Bersama Media, baru-baru ini.
Justeru, Pas dilihat menyimpan sesuatu untuk mereka membantu PN sama ada Parti Bersatu atau Gerakan yang akan meletakkan calon, ketika berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu nanti.
Pada PRN lepas, DAP menang dengan 14,862 undi dan majoriti 4,119. Jumlah undi diperoleh mereka meningkat namun majoritinya menurun berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu 7,134 undi. Pada PRU13, Kee Hiong menang dengan 9,469 undi dan majoriti 1,702.
Sementara PN pula yang diwakili Henry Teoh (Gerakan) memperoleh 10,743 undi dan menyifatkannya sebagai pengundi deposit dimiliki mereka untuk berdepan PRK. Pas pula menjadi parti pertama meletakkan calon Melayu di sana pada PRU14, Naharudin Abdul Rashid dan memperoleh 3,306 undi. – UTUSAN










