Dengarlah suara veteran UMNO

Dengarlah suara veteran UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR tiga minggu lalu, lebih kurang 40 pemimpin-pemimpin lama dalam UMNO dijemput hadir untuk berbincang terutama mengenai kedudukan semasa dan hala tuju serta masa depan UMNO.

Ia diusahakan oleh Ibu Pejabat UMNO sendiri bersama Persatuan Veteran UMNO di bawah pimpinan Datuk Othman Desa, bekas setiausaha politik Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Datuk Mustapha Yaakub selaku setiausahanya.

Antara yang hadir ialah bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad; bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Shahrir Samad.

Turut hadir bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga pernah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat selama sepenggal pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri, yang mana saya pada ketika itu penyandang kerusi Parlimen Gerik.

Sesi yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Azizan Abdul Majid itu mengambil masa melebihi tiga jam tanpa membuat apa-apa rumusan yang nyata. Pun begitu, banyak perkara yang saya kira tersirat daripada tersurat diucapkan, menampakkan tidak semua ahli-ahli yang hadir bersedia untuk berterus terang demi kerana ‘menjaga hati’ pucuk pimpinan parti yang sedia ada.

Yang nyatanya, semua berasa amat berdukacita dengan prestasi yang paling buruk dialami oleh UMNO selama bertapak di negara ini sejak 77 tahun lalu pada tarikh keramat 11 Mei 1946 apabila UMNO cuma berjaya meraih sekadar 26 kerusi sahaja pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Keduanya, semua sependapat sesuatu yang radikal lagi drastik perlu dilakukan bagi memulih keadaan yang sedia ada.

Ini ditambah buruk oleh prestasi yang mengecewakan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC yang telah hilang kemampuan untuk mengekalkan sokongan dari kaum Cina dan India, kecuali rakan-rakan lama di Sabah dan Sarawak yang masih kekal setia dengan BN. Ternyata, PRU lalu itu memberi petanda bahawa polarisasi kaum antara Melayu-bukan Melayu semakin bertambah buruk apabila pengundi kaum Cina dengan secara terang-terangan memihak kepada DAP.

Pemerhatian oleh Tan Sri Isa Samad menyedarkan kepada kita bahawa kegiatan di peringkat cawangan dan bahagian ala kursus-kursus penerangan dan pengkaderan yang semakin lesu perlu digerakkan kembali seperti dahulunya. Tan Sri Aziz Abd. Rahman iaitu Presiden Mubarak tegas dengan ideanya bahawa UMNO sentiasa perlu ada golongan pemikir atau think tank seperti amalan para presiden terdahulunya dan ini diterima baik oleh semua.

Tan Sri Shahrir Samad pula mengajak kita berfikir di luar kotak. UMNO buat pertama kalinya perlu belajar menjadi golongan atau parti pembangkang yang berkesan. Tan Sri Ramli Ngah mengajak kita sama-sama kembali ke pangkal jalan, jika kita sedang sesat di hujung jalan, manakala Datuk Mustika Junaidah yang pernah lantang bersuara di Perhimpunan Agung Umno dalam tahun-tahun 1990an mengajak jentera wanita, pemuda dan puteri sama-sama berganding bahu dan tenaga dalam usaha memulih kembali UMNO.

Apa yang tidak disentuh, dan perkara ini sentiasa berlegar dalam pemikiran saya ialah UMNO sendiri mencuba memainkan peranan untuk mengatasi dan akhirnya menghapuskan imej rasuah oleh para pemimpinnya yang pernah melahirkan label kleptokrat oleh mantan presidennya sendiri yang pastinya ditujukan kepada sekumpulan pemimpin tertinggi parti suatu ketika dahulu serta keperluan menegakkan atau memupuk satu imej baharu UMNO yang lebih menarik dan meyakinkan para generasi muda.

Ini termasuklah tiada lagi pemimpin yang terpalit dengan rasuah yang merupakan isu paling besar pernah dihadapi oleh UMNO sejak satu dekad lalu yang membawa kepada tercalarnya wajah UMNO yang membawa kepada kejatuhan UMNO yang begitu parah.

Hal ini memerlukan penggantian sesetengah pemimpin tertinggi yang sedia ada dan jika difikirkan perlu, membawa pemimpin-pemimpin lama dan muda serta masih berwibawa yang kini berada di luar UMNO untuk kembali ke pangkuan untuk memimpin UMNO.

Mengambil contoh Parti Semangat 46 yang mempunyai gandingan tokoh-tokoh pemimpin hebat seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Musa Hitam, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan lain-lainnya tetapi tetap gagal sebagai parti alternatif kepada UMNO sesudah perpecahan pada 1987.

Dalam perbincangan di luar polemik rasmi, sering disebut beberapa nama yang dirasakan sepatutnya dibawa kembali ke pangkuan UMNO seperti Khairy Jamaluddin yang pernah dianggap sebagai seorang tokoh pelapis yang berpotensi dan ada masa depannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga punya sosok bakal Presiden dan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Annuar Musa serta beberapa lagi tokoh yang berada di luar Umno atau disingkirkan.

Di samping itu, dalam kalangan pemimpin pemuda dan wanita UMNO semasa juga sudah tersedia beberapa pemimpin pelapis yang berwibawa. Kita perlu mengambil kira pemimpin UMNO yang kini menerajui parti Bersatu juga boleh diajak kembali ke pangkuan UMNO dalam usaha pemulihan dan untuk UMNO bergerak ke hadapan dalam melakukan pembaharuan secara menyeluruh bertujuan membina kekuatan serta menarik minat generasi muda yang pada masa ini tidak mempunyai banyak pilihan.

Dalam bahasa yang mudah, parti Bersatu wajar dibubar bagi meminimumkan perpecahan dalam kalangan orang-orang Melayu yang kini berpecah kepada lima parti politik seperti PKR, Amanah, Bersatu, Pas dan UMNO manakala Amanah juga patut dibubar untuk ahli-ahlinya kembali ke pangkuan Pas atau menyertai UMNO.

Seperti pernah berlaku dalam pertengahan tahun 1980an, apabila UMNO terbelah dua kepada UMNO Baru dan Parti Semangat 46 tetapi bercantum semula 10 tahun kemudian, peristiwa sejarah yang menguntungkan orang Melayu ini tidak mustahil untuk diulang kembali.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Presiden Persatuan Melayu Polinesia Sedunia dan Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×