IPOH: Polis telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor yang dibaling objek dipercayai bom petrol dalam kejadian pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, rakaman CCTV itu akan dianalisis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti pelaku dan kenderaan yang digunakan.
Katanya, setakat ini, bilangan individu yang terlibat dalam kejadian itu masih lagi dalam siasatan.
“Maklumat kejadian khianat itu diterima daripada pekerja kedai serbaneka iaitu seorang wanita berusia 20 tahun yang memberitahu telah terdengar bunyi botol pecah di hadapan premis.
“Pengadu segera membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai.
“Berdasarkan laporan, wanita itu memaklumkan ada terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pencegahan ‘Phone Scam’ anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak dan Pos Malaysia Berhad, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, objek yang dilempar di hadapan kedai serbaneka itu bagaimanapun tidak melibatkan letupan mahupun kebakaran di premis berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan daripada pelbagai sudut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Norseha Baharudin di talian 05-4011861 atau 017-7963359,” ujar beliau.
Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau berkata, sebanyak 22 laporan polis diterima di seluruh negeri berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
“Kesemua laporan polis tersebut telah dirujuk kepada laporan asal yang dibuat di Batu Kikir, Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu, sebuah kedai KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dilempar objek dipercayai bom petrol oleh dua individu tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta.
Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di kedai serbaneka, KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Susulan kejadian itu, KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu. – UTUSAN











