SHAH ALAM: Seorang bilal cilik berusia 11 tahun bercita-cita memanfaatkan bakatnya untuk melaungkan azan dekat Masjidil Haram, Mekah yang merupakan masjid tumpuan umat Islam dari seluruh dunia.
Malah, umurnya yang disifatkan masih ‘hijau’ itu wajar disokong semua pihak termasuk pihak berkuasa agama apabila dia sering diberi peluang untuk melaungkan azan dekat surau dan masjid berhampiran rumahnya.
Kanak-kanak bersekolah darjah lima dari Bukit Jelutong itu, Muhammad Emir Irsyad Muhammad Khuzaidi,11, berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang mengasah bakat menjadi bilal di masjid dan surau berhampiran rumahnya.
“Selain itu saya turut diberi peluang untuk mengalunkan azan di Surah Platinum Mawaddah Seksyen 7 untuk solat fardu, biasanya hari Jumaat waktu solat fardu Isyak, kadang-kadang hari Sabtu untuk solat fardu Zohor dan Asar.
“Walaupun jauh dari rumah peluang tersebut tidak akan saya lepaskan bagi memastikan kebolehan tersebut dapat diteruskan. Lagi pun saya jadi bilal bergilir dengan bilal muda yang lain,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, bakat sebagai bilal diasah sejak menjadi wakil sekolah untuk ke pertandingan azan dan mempelajari teknik azan di sebuah institusi.
Kata Muhammad Emir Irsyad lagi, berkata, dia berharap suatu hari nanti dia boleh menjadi muazzin di negeri ini dan seterusnya di Mekah.
“Sebelum ini saya pernah masuk Top 20 Muazin Gegaran Sampai Ke Langit anjuran Datuk Datuk Rosyam Nor tahun lalu. Pengalaman tersebut menyebabkan saya semakin bersemangat untuk terus menjadi bilal yang lebih baik,” kongsinya. – UTUSAN










