ECERDC realisasikan pelaburan bernilai RM2.4 bilion di Terengganu - Utusan Malaysia

ECERDC realisasikan pelaburan bernilai RM2.4 bilion di Terengganu

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan yang bernilai RM2.4 bilion di negeri ini pada suku pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nilai pelaburan tersebut melibatkan beberapa sektor seperti perbuatan besi dan keluli, penanaman napler, kilang pulpa serta bekas makanan.

Menurutnya, sektor berkenaan juga telah membuka sebanyak 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.

“Pelaburan ini adalah 57 peratus daripada sasaran pelaburan direalisasikan yang bernilai RM4.2 bilion untuk negeri Terengganu pada tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.

Ahmad Samsuri memberitahu, ECERDC juga telah berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (RM94O juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta) dan perbuatan (RM10 juta) di negeri ini setakat Mac lalu berbanding sasaran tahunan RM5.8 bilion.

Katanya, sebanyak 65 peratus nilai pelaburan itu adalah melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) dengan pelaburan tertinggi dari negara Jepun sebanyak RM660 juta.

“Melalui kerjasama erat antara pihak kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan serta sokongan berterusan agensi-agensi berkaitan, saya percaya ECERDC akan teeus meraih kepercayaan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi.

“Ini akan menjadikan negeri Terengganu kekal berdaya saing sebagai sebuah destinasi pelaburan utama di Pantai Timur,” ujarnya.

Sementara itu, Baidzawi pula berkata, beliau yakin peranan yang dimainkan oleh ECERDC sebagai ‘one stop agency’ akan memberikan khidmat memudahcara pelaburan secara ‘end-to-end’ dalam merealisasikan pelaburan dan membuka pintu kepada aktiviti-aktiviti ekonomi di negeri Terengganu.

“Antara aktiviti yang telah dilaksanakan oleh ECERDC untuk menarik pelaburan baharu termasuk sesi libat urus bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan, Perdagangan, Perindustrian, Teknologi Hijau.

“Selain itu, memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam pembangunan, promosi, penggunaan tenaga boleh baharu di ECER bersama sebuah syarikat penjanaan kuasa terkemuka dari China,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×