Mengangkat darjat ibu dalam puisi

Mengangkat darjat ibu dalam puisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Darjat seorang ibu terlalu tinggi nilainya. Nilai yang tidak dapat dibandingkan dengan sesuatu di dunia ini. Sejak dahulu, jasa ibu dihargai dalam pelbagai cara dan bentuk. Salah satunya adalah menulis puisi atau sajak untuk insan bernama ibu.

Menurut Datuk Dr. Lim Swee Tin, puisi merupakan suara rasa dan cetusan pemikiran pengarangnya. Karya dicipta bukan dari kekosongan. Ia berasas. Apa-apa sahaja boleh menjadi asas dalam penciptaan sajak; mungkin pengalaman diri, keyakinan hidup, kesan dari perjalanan, pengalaman yang ditempuh, tidak terkecuali pemerhatian akan segala peristiwa serta keadaan yang berlaku di sekeliling.

Apabila membaca tajuk buku kumpulan puisi Empat Musim Di Bibir Emak (EMDBE), amat jelas penulis Sarah Ross hendak menyatakan darjat seorang ibu di mata seorang anak.

Buku puisi ini tersenarai dalam Finalis Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023 dan diterbitkan oleh Penerbitan Kata Pilar (M) Sdn. Bhd, dengan cetakan pertama, Jun 2023.

Dalam catatan tentang penulis, Sarah Ross berasal dari Kampung Pengkalan Baru, Melaka. Lulusan Sarjana Muda Sains Maklumat dari Universiti Malaya (2007). Penulis baru in giat menghasilkan cerpen dan puisi eceran.

Banyak menyertai penulisan antologi puisi dan cerpen dengan nama pena Cikgu Sarah bermula 2021. Karyanya turut disiarkan di media cetak antaranya Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa dan Tunas Cipta.

Beberapa tajuk puisi dalam buku ini jelas menggambarkan penulis mengangkat darjat ibu seorang insan luar biasa.

Puisi Empat Musim di Bibir Emak, Kasih Emak Sentiasa Hangat, Hal-hal Tentang Emak dan Sepotong Roti dari Ketuhar Ibu adalah tajuk khusus tentang hal ehwal seorang ibu yang sanggup berkorban demi kesejahteraan anak-anak.

Di samping terdapat puisi-puisi lain yang tajuknya tidak menyebut ibu tetapi turut menceritakan kisah ibu dan ayah yang menyentuh jiwa penulis.

Diperturunkan sepenuhnya puisi bertajuk Empat Musim di Bibir Emak:

ada empat musim
dikandung dan dilahirkan
di bibir emak

pujian adalah musim bunga
yang mekar pada kelopak bibirnya
ketika tatihku mula meniti mercu

tegurannya, musim panas
yang garing di lidah
agar hidupku tidak berisi mentah

dukungan emak
adalah musim luruh yang menguatkan
ketika daun-daun semangat
berlumba tinggalkan dahan perjuangan

doa emak, musim sejuk
yang mendinginkan.
resah dan gusar menjadi salju
riang bermain
dan pulang berbekal gembira

aku memeluk
empat musim di bibir emak
penuh manja
walau putih kian menumbuhi kepala

Membaca dan menghayati puisi ini, amat ketara penulis menggunakan perbandingan dan metafora yang amat berlainan sekali.
Frasa-frasa yang dibentuk bukan ayat klise yang secara tidak langsung menerbitkan wacana yang mencabar pemikiran.
Menurut Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh, penyair yang baik harus selalu memperkayakan dirinya dengan perbendaharaan kata bahasanya, selalu mencari dan mencuba keupayaannya kerana puisi yang baik ialah karya yang asli penuh imaginasi dan merdu pula pada bunyinya.
Ini dapat dikesan kesemua puisi dalam EMDBE yang rata-rata ayat-ayatnya bernada segar dan baru.
Jelas penulis Sarah Ross memiliki daya imaginasi yang cukup tinggi ketika menghasilkan kumpulan puisi ini. Gaya perlambangan yang ingin disampaikan oleh penulis menjadikan susunan bahasa puisi-puisi tersebut seolah-olah bernada melankolik dan menyentuh perasaan.
Diperturunkan lagi sepenuhnya sebuah puisi yang menggambarkan betapa seorang ibu itu watak seorang wanita yang berjiwa kental dan memiliki semangat luar biasa demi mengasuh dan menjaga anak-anak biarpun terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun. Puisi ini bertajuk Kasih Emak Sentiasa Hangat.

kami pulang ketika mentari
belum mengemas diri

emak menjadi pintu
yang menyambut.
menjadi jendela
mengalirkan segar semilir

emak menjadi dapur
mengasapkan juadah.
menjadi riuh dan tawa
menghibur sendu hiba

emak menjadi tilam empuk
tempat berguling manja.
menjadi bantal mendendang
nyanyian indah masa kecil

kami terlena dalam pelukan emak
yang sentiasa hangat kasihnya ditanak

kami menjejak emak di pusara
namun disambut wanita syurga
dengan senyum yang sentiasa
harum di wajahnya

Kesimpulannya, penulis Sarah Ross berjaya menggunakan puisi sebagai bahan berharga untuk mengangkat darjat seorang ibu.
Memetik kata-kata pada blurb buku tersebut; selain cuaca, seorang ibu ialah tubuh yang paling banyak menanggung rasa dan rahsia. Induk yang melindungi benih-benih kecil yang sedang belajar dewasa dan bercinta – sehingga ia tegap rendang, bersedia mencabar hidup yang bernama musim.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×