Duit raya bersasar hanya undang polemik baharu di tanah rancangan Felda - Utusan Malaysia

Duit raya bersasar hanya undang polemik baharu di tanah rancangan Felda

PENGERUSI Kami Anak Felda (KAF) Kebangsaan, Datuk Amizar Abu Adam (tiga dari kanan) menyampaikan sijil pelantikan Pengerusi KAF Felda Lembah Klau, Raub kepada Abdullah Abu Bakar (tiga kiri) di Temerloh, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kira-kira 80 peratus atau 80,000 daripada lebih 100,000 peneroka yang setia bersama Felda berasa terpinggir jika mereka diketepikan daripada menerima insentif duit raya sempena Aidilfitri pada tahun ini.

Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM) Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, setelah diumumkan bantuan khas RM300 kepada peneroka Felda, Selasa lalu, rata-rata peneroka terkedu kerana ia bersasar dan hanya untuk yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

“Majoriti peneroka sudah sekian lama menunggu pengumuman duit raya tetapi apabila diumumkan pemberiannya, sudah ada suara-suara tidak berpuas hati dalam kalangan peneroka Felda.

“Ini kerana hanya sebahagian kecil peneroka dapat menikmati insentif itu manakala sebahagian besar akan menggigit jari kerana tidak layak dari segi syarat ditetapkan Felda.

“Saya menyeru pihak Felda mempertmbangkan agar wang berkenaan diberikan kepada semua peneroka Felda seluruh negara terutama yang menghantar hasil kepada kilang Felda,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar dan Malam Apresiasi Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Mempaga di Rumah Rehat Temerloh di sini.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar RM300 kepada peneroka Felda yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, bantuan kepada peneroka di 317 tanah rancangan seluruh negara akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peneroka berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud menyifatkan duit raya dari Felda sebagai pengiktirafan jasa peneroka kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun katanya, ia mengundang rasa tidak puas hati peneroka apabila hanya sebahagian sahaja layak menerimanya.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana mengembalikan duit raya buat peneroka. Cuma kita harap biarlah pemberian menyeluruh, bukan bersasar,” katanya.

Ketua Peneroka Felda Wilayah Mempaga, Abd. Ghani Taib, 60, pula berkata, hati peneroka sedikit terubat apabila mereka yang berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 akan menikmati penangguhan potongan hutang untuk bulan Mac.

“Bagaimanapun, peneroka Felda lebih menghargai sumbangan duit raya dari Felda sebagai menghargai jasa dan pengorbanan peneroka selama ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×