JELEBU: Menyedari kehadiran sepasukan anggota dari Unit Perikanan Darat, Pejabat Perikanan Daerah Jelebu di Sungai Limau, Kenaboi di sini semalam, seorang individu melarikan diri selepas dia cuba menangkap ikan menggunakan panah ikan tradisional di sungai tersebut.
Menurut Ketua operasi, Timbalan Pegawai Perikanan Darat, PPD Jelebu, Mohd. Azhar Jusoh berkata, hasil penguatkuasaan pihaknya di lokasi tersebut seunit panah ikan tradisional iaitu alat yang dilarang digunakan untuk menangkap ikan telah disita selepas ia dipercayai ditinggalkan oleh individu berkenaan.
“Kita mulakan operasi pada pukul 9.30 pagi dan berakhir pada pukul 3 petang. Setakat ini pelakunya tidak dapat dikesan bagaimanapun kami ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan peralatan penangkap ikan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri boleh membahayakan manusia.
“Kami mendapat maklumat mengenai aktiviti menambak ikan ini banyak dilakukan pada waktu malam sebab ikan diam (tidur), air pula jernih jadi lebih mudah menangkap ikan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Azhar lagi, pihaknya melakukan pemantauan dari semasa ke semasa terutamanya di perairan Sungai Kongkoi dan Jeram Gading.
Selain itu menurutnya, lokasi panas yang turut menjadi lokasi tumpuan pemancing adalah Sungai Kenaboi dari Sungai Limau hingga Kampung Bertam dan Kampung Chennah hingga Kampung Poum.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab ini boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1976, Negeri Sembilan yang boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,jika sabit kesalahan.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan di pejabat perikanan berhampiran supaya tindakan susulan dapat diambil bagi pihak yang menangkap ikan menggunakan racun, tuba, pencemar, arus elektrik, panah ikan atau bahan letupan,” katanya.-UTUSAN.










