Perkasa budaya kerja, hindari hasutan rasuah

Perkasa budaya kerja, hindari hasutan rasuah

USAHA ke arah memerangi rasuah dilihat mendatangkan hasil apabila menunjukkan peningkatan skor bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diterbitkan Transparency International.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Sebagai salah satu usaha membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil.6/2013 mengenai Penubuhan Unit Integriti di semua agensi awam pada 24 Julai 2013 yang mana kini dipraktikkan di hampir setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan atau negeri.

Sebaik sahaja mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri pertamanya menyeru seluruh jentera penjawat awam menjadikan islah sebagai asas pembangunan negara.

Budaya kerja cemerlang merupakan nadi dalam usaha ke arah memerangi rasuah melalui ketelusan dalam perkhidmatan dan keberkesanan terhadap penyampaian. Usaha murni kerajaan melancarkan Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) serta Jawatankuasa Tatakelola di pelbagai peringkat Disember 2023 harus dipuji.

Terkini, usaha ke arah memerangi rasuah dilihat mendatangkan hasil apabila menunjukkan peningkatan skor bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang diterbitkan Transparency International.

Pada 2023, Malaysia mencatat peningkatan sebanyak tiga mata iaitu 50 mata berbanding 47 mata pada 2022. Hal ini telah melonjakkan Malaysia di kedudukan ke-57, berbanding tahun 2022 di kedudukan ke-61 daripada 180 buah negara. Pencapaian ini pastinya menjadi motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia dalam memberikan pengharapan yang tinggi dan kesediaan untuk turut melibatkan diri memerangi rasuah.

Dalam perkara ini, kerajaan melalui JPA pada tahun lalu memulakan salah satu perancangan yang penting untuk memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terjaga iaitu dengan menyegerakan usaha bagi mewujudkan sistem saraan yang baharu.

Harapan seluruh penjawat awam pastinya agar keputusan yang bakal diumumkan kelak dapat memberikan kelegaan dari sudut pendapatan seterusnya dapat meningkatkan motivasi penjawat awam untuk lebih cemerlang.

Kesimpulannya, budaya kerja cemerlang melalui penyuburan nilai-nilai yang baik harus menjadi keazaman setiap individu. Pemerkasaan budaya yang baik secara berterusan pastinya akan melahirkan iltizam yang tinggi untuk menjauhi rasuah.

Penjawat awam sebagai tonggak utama perkhidmatan awam perlulah sentiasa melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh efektif dan bersemangat kerana rakyat sentiasa menaruh harapan yang tinggi.

Usah tergoda bisikan rasuah, sentiasa berpada jangan bermewah agar kehidupan kekal bermaruah.-UTUSAN

MUHAMMAD IKRAM ABDUL HALIM
Perunding Latihan di Institut
Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×