Songkok Warisan Keluarga Sarbaini Jamil jadi pilihan

Songkok Warisan Keluarga Sarbaini Jamil jadi pilihan

NUR AFIFA ROSLAN menunjukkan kepelbagaian songkok perniagaan Songkok Warisan Keluarga Sarbaini Jamil ketika ditemui di Seremban. – UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua bulan sebelum Ramadan merupakan tempoh paling sibuk buat Roslan Salbaini, 63, seorang pembuat, pengedar, penjual songkok ter­kenal di Negeri Sembilan.

Dia yang mewarisi perniagaan Songkok Warisan Keluarga Sarbaini Jamil perlu memberi tumpuan penuh bagi me­nyiapkan tempahan yang diterima pelanggan bukan hanya di Negeri Sembilan namun dari serata negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut anak perempuan Roslan, Nur Afifa, 27, ada masa bapanya terpaksa menyiapkan tempahan di saat akhir sehingga waktu pagi raya.

Katanya, tempahan yang diterima meningkat hampir 80 peratus pada musim perayaan berbanding hari biasa.

“Ayah memang tidak menang tangan kerana dia yang akan menghasilkan sendiri segala tempahan yang diterima.

“Tempahan juga masuk tidak mengira waktu, bahkan di pertengahan Ramadan masih ada pelanggan yang mahu me­nempah songkok,” katanya ketika ditemui.

Kata Nur Afifa, ayahnya boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 20 songkok setiap hari dan pernah juga hasil jahitannya dikirim ke Mumbai, India.

Berkenaan dengan cara pembuatan, jelas anak kedua Roslan itu, jahitan tangan dibuat untuk mengemaskini songkok.

“Namun untuk membuat bunga di dalam songkok memang kami menjahit sendiri menggunakan mesin. Corak bunga di dalam songkok itu diberikan nama Bunga Merak.”

“Bermula dengan memotong, membunga dan merangka ayah buat semua sendiri dengan menggunakan jahitan tangan dan mesin,” ujarnya.

Sementara itu, biarpun ber­depan kenaikan kos bahan, Roslan masih mengekalkan harga yang sama seperti tahun sebelum ini.

Perniagaan Songkok Warisan Keluarga Sarbaini Jamil bermula sejak tahun 1936 dan kini ia dijual pada harga antara RM25 (kanak-kanak) sehingga RM30 (dewasa) setiap satu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×