JEMPOL: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Sin, di Batu Kikir, di sini mencatatkan keunikan apabila kesemua 20 orang murid tahun satu yang berdaftar di sekolah itu bagi sesi akademik kali ini terdiri daripada murid Melayu.
Guru Besarnya, Won Siew Knew berkata, trend murid Melayu lebih ramai dari murid Cina di SJKC berkenaan sudah mula dilihat sejak 10 tahun lalu dan terkini sekolah yang mempunyai 66 murid itu hanya memiliki empat murid Cina sahaja.
Menurutnya, pada tahun lalu terdapat sembilan murid Cina daripada 60 murid namun tahun ini lima daripadanya sudah menyambung pelajaran di Tingkatan 1.
“Ini yang kami lihat, ramai ibu bapa Melayu sudah tertarik untuk hantar anak mereka ke sekolah ini dan saban tahun memang ada peningkatan sehinggalah tahun ini kesemua murid tahun 1 yang baharu adalah terdiri dari Melayu.
“Ini disebabkan majoriti penduduk di pekan Batu Kikir ini kini adalah terdiri daripada orang Melayu manakala, masyarakat Cina yang muda-muda pula sudah berpindah ke kawasan lain,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Siew Knew lagi, selain itu, terdapat sebuah lagi SJKC iaitu SJKC Kampung Baru Bukit Gelugor yang hanya berjarak sekitar kira-kira tiga kilometer atau hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja dari sekolah tersebut.
Menurutnya, kebanyakan ibu bapa Cina menghantar anak masing-masing ke sana manakala sekolahnya pula menjadi pilihan ibu bapa Melayu.
“Mungkin ibu bapa Melayu ini yakin dengan SJKC dan mereka tahu sekiranya anak mereka dididik di sini anak mereka boleh bertutur serta menulis dalam bahasa Cina.
“Kami di pihak sekolah juga sentiasa mengalu-alukan untuk mengajar mana-mana murid tanpa mengira bangsa kerana kami lihat dengan cara ini dapat mengeratkan hubungan antara kaum,” katanya lagi.
Menurutnya, lebih unik lagi, warga pendidik di sekolah itu juga sentiasa menganjurkan pelbagai program yang berbentuk perpaduan terutamanya sambutan perayaan.
Sebagai rekod, SJKC Chi Sin kini mempunyai 20 murid tahun satu, tahun dua (11), tahun tiga (10), tahun empat (12), tahun lima (empat) dan sembilan murid di tahun enam.-UTUSAN.










