KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mencatatkan untung bersih sebanyak RM766 juta bagi tahun kewangan 2023, kali pertama sejak 2010 berbanding rugi bersih sebanyak RM344 juta pada tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sama, kumpulan merekodkan untung operasi sebanyak RM889 juta pada, meningkat 64 peratus berbanding RM540 juta pada 2022.
MAG turut mempunyai simpanan tunai kukuh berjumlah RM4.3 bilion setakat 31 Disember 2023 tanpa menerima suntikan modal daripada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Bhd sejak Oktober 2021.
Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Izham Ismail berkata, prestasi kukuh itu disumbangkan oleh trafik penumpang yang kukuh daripada segmen premium, aliran aktif bagi rangkaian antarabangsa dan kapasiti pengurusan komprehensif.
Katanya, pertumbuhan turut dipacu oleh kerjasama perkongsian yang mendalam dan hasil yang lebih kukuh untuk segmen penumpang.
“Kami gembira mengumumkan prestasi ini walaupun berdepan kos operasi dan buruh lebih tinggi, ringgit lemah, cabaran dalam rantaian bekalan disebabkan peningkatan kos dan komitmen penghantaran yang tidak menentu, harga bahan api serta kadar faedah yang tinggi.
“Semua segmen perniagaan di seluruh kumpulan mencatatkan peningkatan tahun ke tahun. Jumlah pendapatan Malaysia Airlines Berhad (MAB) meningkat sebanyak 45 peratus berbanding tahun lalu,” katanya pada taklimat prestasi kewangan di sini hari ini.
Sebelum ini, MAG disokong oleh kapasiti yang lebih tinggi, permintaan yang kukuh dan memberi tumpuan kepada antarabangsa sektor untuk segmen perniagaan penumpang.
Kapasiti penumpang berada pada tahap 90 peratus daripada 2019.
Menurut Izham, pencapaian tersebut adalah bukti yang tidak berbelah bahagi oleh lebih daripada 12,000 kakitangan yang telah memainkan peranan penting dalam mencapai keputusan yang luar biasa dan memecahkan rekod dalam sejarah organisasi itu.
“Walaupun 2023 menandakan kebangkitan yang luar biasa, pada 2024 dijangka menjadi tahun syarikat mengukuhkan kredibiliti kami.
“MAG kekal komited terhadap inovasi, menjangkakan keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang mudah suai,” katanya.
“Didorong oleh kestabilan kewangan, kami kini berada pada kedudukan yang baik untuk melabur semula dalam produk fizikal kabin, meningkatkan tawaran dan melaksanakan strategi pengembangan armada kami,” katanya.
Dalam pada itu, Izham berkata, pihaknya optimis untuk terus merekodkan keuntungan pada tahun kewangan semasa, berdasarkan trend pemulihan trafik penerbangan antarabangsa.-UTUSAN










