CERITA tentang kesusahan terutama membabitkan kos sara hidup, kewangan dan hal-hal sampingan sering kali menjadi bahan bualan dalam kalangan masyarakat kita.
Ia turut menjadi hal peribadi yang adakalanya memerlukan perhatian dan pertolongan pihak lain untuk meneruskan kehidupan hari esok.
Bagaimanapun, bercakap tentang menghadapi kesusahan dalam konteks di negara ini terutama ketika sambutan bulan Ramadan tidak sama dengan mereka yang berada di negara lain lebih-lebih lagi golongan pelarian.
Kebanyakan daripada kita masih boleh berbual tentang juadah hidangan berbuka atau sekurang-kurangnya dapat menyambut Ramadan secara sederhana berbanding mereka yang tinggal di kem-kem pelarian.
Peluang berkunjung ke Ebdaa Centre, sebuah pusat pengajian anak-anak pelarian Syria di Beqaa Lebanon bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Al-Khair, membuka ruang kepada saya menyelami kisah sedih mereka terutama ketika menyambut kedatangan Ramadan.
Makan sekali sehari
Bagi Rihab Al-Sharif 12, kedatangan Ramadan baginya tidak sama sebagaimana kanak-kanak di negara lain yang lebih bernasib baik.
Sudah menjadi lumrah kata kanak-kanak yang berasal dari Idlib, Syria ini untuk menikmati makanan sekadar mengalas perut sewaktu berbuka puasa, selepas lebih 12 jam menahan lapar dan dahaga.
“Kami makan sehari sekali saja. Kalau ada rezeki dan ada yang mahu bersedekah, dapatlah kami simpan makanan tersebut untuk bersahur.
“Menu pula hanya sederhana dan amat jarang dapat menikmati daging atau ayam. Kami biasanya makan gandum atau bijirin dan sesekali mungkin nasi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Walaupun sudah lebih sedekad menjadi pelarian dan mencuba nasib mencari kehidupan lebih baik di negara orang, kehidupan Rihab masih terkontang kanting dan sebatang kara terutama selepas kematian bapanya yang dibunuh di sebuah kawasan di Lebanon.
Rahib yang merupakan anak tunggal berkata, sudah menjadi rutin harian baginya untuk membantu ibu melakukan kerja rumah setiap hari.
“Ibu tiada pendapatan. Hanya masa-masa tertentu sahaja dia dipanggil bekerja. Jadi adalah tanggungjawab saya untuk melakukan kerja rumah sebelum bergerak ke sekolah,” jelasnya.
Gaji RM4.70 sehari
Menurut Awad Hamdan Al-Ahmad, 23 yang merupakan penghidap thalasemia, segala kos untuk menjalani kehidupan hariannya bergantung dengan gaji sebagai pengutip sampah sebanyak AS$1 (RM4.70) setiap hari.
Dia yang berasal dari Aleppo, Syria sejak berumur lima tahun menggunakan wang tersebut untuk membantu ibunya membeli roti termasuk sebagai juadah berbuka puasa.
“Saya mula bekerja sejak berumur 10 tahun dengan mengutip plastik. Adakalanya kalau dapat hasil yang lebih, saya dapat lebih kurang A$1.50 (RM7).
“Dengan wang sebanyak ini memang terlampau sukar untuk membeli barangan keperluan lain. Saya hanya boleh beli makanan sedikit untuk meneruskan kehidupan,” jelasnya yang kini tinggal bersama ibu.
Kata Awad Hamdan lagi, dia hanya menerima bantuan sebanyak AS$50 (RM235) setiap tiga bulan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Lebanon.
“Saya mahu membantu ibu membeli barangan lain seperti peti sejuk untuk menyimpan susu atau makanan hasil sedekah beberapa NGO selain perkakas lain untuk ditempatkan di kem kami.
“Sekurang-kurangnya ada sedikit keselesaan untuk kami terutama apabila tibanyak musim sejuk yang semestinya besar dugaannya,” katanya.
Dia dan ibunya dalam masa yang sama menyifatkan aktiviti sahur umpama rezeki berganda dan bukan sesuatu yang mampu bagi golongan seperti mereka.
Mereka ‘dahaga’ ilmu
Dalam perkembangan lain, bagi sukarelawan Hanin Choubassi, 29, semua anak-anak pelarian Syria bersemangat setiap kali datang ke pusat pengajian Ebdaa Centre untuk menuntut ilmu.
Malah katanya, ada segelintir sanggup datang dari kem yang agak jauh semata-mata untuk mengikuti kelas seperti kelas lukisan, nyanyian atau jahitan.
“Mereka sedar tentang pentingnya pendidikan untuk masa depan yang lebih cerah. Apatah lagi apabila tinggal di negara orang dan menjadi pelarian.
“Sudah pasti mereka memerlukan sijil atau kemahiran untuk meneruskan kehidupan di Lebanon. Apa yang pasti mereka tidak pernah mengimpikan untuk kembali semula ke Syria. Jadi sebab itu usaha dan kerja keras amat diperlukan selain bantuan buku atau keperluan lain,” ujarnya yang berasal dari Beqaa.
Tambahnya lagi terdapat lebih 150 anak pelarian Syria di pusat ini yang beroperasi sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Apa yang saya lihat, tidak sukar untuk membentuk anak-anak pelarian Syria ini. Mungkin disebabkan keinginan mereka yang tinggi untuk berjaya.
“Lagipun, apabila mereka datang ke sini, semuanya teruja untuk bersama rakan-rakan. Jika dibandingkan di kem pelarian, mereka tidak lakukan apa-apa aktiviti dan hanya bermain di kawasan sekitar sahaja,” jelasnya.
Dia yang datang ke pusat tersebut setiap hari akan melakukan pelbagai tugasan seperti mengemas, membersih dan membantu semua guru tanpa mengenakan bayaran.
120,000 beg, kelengkapan pembelajaran
Ketua Pegawai Operasi Al-Khair, Muhd Luqmanul Hakim Mohd. Redzuan berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti keperluan penting lain yang diperlukan bukan sahaja pelajar tetapi pelarian Syria dan Palestin di beberapa buah kem.
“Untuk keseluruhan pelajar termasuk di Ebdaa Centre dan beberapa sekolah lain, kita menyasarkan untuk memberi 120,000 beg pada tahun ini.
“Beg ini akan dilengkapi barang keperluan sekolah seperti peralatan menulis dan buku,” katanya.
Tambah Muhd Luqmanul Hakim, selain keperluan persekolahan, pihaknya turut menghantar bantuan kemanusiaan secara berterusan kepada pelarian Syria dan Palestin di beberapa kem di Beqaa serta Baalbek, Labenon.
“Untuk bantuan seperti makanan, kelengkapan persekolahan dan pakaian musim sejuk memang kami berikan secara berterusan.
“Namun, kami merancang untuk menambah jumlah bantuan pada masa akan datang bagi memastikan keperluan mereka mencukupi,” jelasnya.










