Guru besar patut berada di sekolah pada musim cuti

Guru besar patut berada di sekolah pada musim cuti

SEWAJARNYA masa cuti sekolah digunakan untuk membuat persiapan kehadiran pelajar baharu dan lama ke sekolah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN musim persekolahan bagi sesi 2024 baru sahaja bermula pada 11 Mac lalu selepas sebulan bercuti, namun guru dan guru besar tidak terikat dengan cuti tersebut. Ini kerana mereka diperuntukkan dengan cuti rehat mengikut gred dan tempoh perkhidmatan.

Guru besar dan guru perlu memohon cuti dan permohonan tersebut perlu mendapat kelulusan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum boleh bercuti.

Tetapi adakah semua guru besar akur dengan peraturan tersebut? Adakah pihak PPD memantau kehadiran guru besar bertugas sepanjang cuti sekolah? Mungkin perkara ini tidak terjadi di sekolah yang berhampitran PPD atau yang mudah dikunjungi tetapi bagaimana dengan sekolah pedalaman, luar bandar atau di ulu sungai? Ini ditambah pula guru besar dari daerah lain yang menyebabkannya liat untuk hadir bertugas.

Walaupun cuti sudah tamat dan sesi persekolahan baharu bermula, kehadiran guru besar bertugas dalam waktu cuti boleh dikesan dengan melihat buku kehadiran atau kad perakam waktu.

Tindakan tatatertib yang tegas perlu dikenakan kepada guru besar yang tidak hadir bertugas tanpa sebab dan tanpa kelulusan cuti. Tindakan ini perlu seperti mana tindakan guru besar kepada guru biasa dan kakitangan sekiranya tidak hadir bertugas. Tiada dwistandard.

Slogan Kepimpinan Melalui Teladan yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih relevan dalam soal ini. Guru besar sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada anak buahnya bukan sebaliknya.

Ketiadaan guru besar di sekolah menimbulkan masalah kepada ibu bapa untuk berurusan dan berbincang soal pendidikan anak-anak. Guru besar sepatutnya gunakan waktu ini untuk membuat persiapan sesi persekolahan akan datang.-UTUSAN

PENJAGA PRIHATIN
Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×