BATU PAHAT: Kilang yang didakwa mengedar stoking tertera kalimah Allah di kawasan perindustrian Sri Gading, dekat sini menutup operasinya hari ini.
Penutupan kilang itu dilakukan sehari selepas pihak pengurusan mengeluarkan kenyataan terhadap kebimbangan tentang kebocoran data peribadi pegawai di syarikatnya serta ancaman mahu membakar premis itu.
Notis penutupan itu dimaklumkan menerusi memo yang ditampal di pintu utama kilang tanpa memaklumkan bila tarikh akan beroperasi semula.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, kilang terbabit yang melakukan aktiviti pembungkusan dan pengedaran sunyi sepi akibat penutupan itu.
Pada masa sama, terdapat satu kain rentang digantung di pagar utama kilang terbabit yang tertera permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas kejadian berkaitan stoking memaparkan kalimah Allah yang ditemukan di kedai serbaneka KK Super Mart di Bandar Sunway, Selangor, baru-baru ini.
“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian itu hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” demikian paparan kain rentang terbabit.
Dalam permohonan maaf itu, pihak pengurusan menyenaraikan tiga perkara utama, antaranya berjanji untuk sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama, memelihara keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.
Semalam, pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan dan pemeriksaan sebelum menemukan lima pasang stoking tertera kalimah Allah.
Namun, hasil pemeriksaan mendapati, kelima-lima stoking itu adalah yang dipulangkan tiga kedai serbaneka KK Super Mart ketika mula-mula tercetus kontroversi tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, sehingga kini pihaknya sudah menerima sembilan laporan polis dibuat di daerah ini dan pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk merakam percakapan mereka yang terbabit dalam mengendalikan operasi kilang terbabit.
“Kita dalam proses merakam percakapan pemilik dan pekerja yang berurusan mendapat bekalan stoking berkenaan. Untuk pagi ini, kita buat tiga rakaman percakapan dahulu untuk melengkapkan siasatan berhubung kontroversi itu,” katanya. – UTUSAN










