JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat pengendali pakej umrah, Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd., bersama seorang pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas 16 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar balik tuntutan wang lapan individu berjumlah RM131,890.
Walau bagaimanapun, Datuk Zulkarnain Endut, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Seorang lagi pengarah syarikat, Datin Mazuin Mustafa, 43, yang juga isteri kepada Zulkarnain turut berdepan lapan pertuduhan tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana mengalami masalah kesihatan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Emraz Travel & Tours dan pengarahnya berdepan pertuduhan gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan supaya membayar RM131,890 kepada lapan individu di Pejabat TTPM di Menara Ansar, di sini antara 24 Julai 2023 hingga 10 Januari tahun ini.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai Mohd. Sophian Zakaria, Suhana Mohd. dan Shafiq Mahadi, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Hanif Hassan.
Pihak pendakwa raya memohon jaminan dikenakan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
“Mahkamah perlu mengambil kira keadaan kes ini yang membabitkan kepentingan awam melibatkan lapan mangsa, majoritinya merupakan warga emas. Menggunakan wang simpanan mereka ke Tanah Suci, ada yang menggunakan wang peninggalan arwah suami dan bayaran dibuat oleh semua mangsa sejak Februari tahun lalu yang sepatutnya menunaikan ibadah umrah pada Mac tahun lalu.
“Sebelum ini pendakwaan di Mahkamah Putrajaya atas 63 pertuduhan, seterusnya Mahkamah Majistret Kota Bahru atas 51 pertuduhan dan Mahkamah Majistret Seremban, 51 pertuduhan,” katanya.
Sementara itu, Hanif memohon jaminan yang rendah memandangkan tiada pendapatan dijana syarikat dan tertuduh sejak akhir-akhir ini.
“Untuk makluman, semalam menerima notis daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menghalangnya daripada menjadi pengarah kepada mana-mana syarikat. Keadaan ini, menyebabkan anak guam saya tidak mempunyai pendapatan dan akuan turut dibekukan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 kepada tertuduh dan perlu hadir untuk melaporkan diri setiap bulan di pejabat KPDN Putrajaya serta 22 April depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pertuduhan terhadap seorang lagi pengarah syarikat, iaitu Mazuin yang tidak hadir hari ini.- UTUSAN









