KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM6.1 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan lampu isyarat dan lampu jalan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr. Izani Husin berkata, peruntukan yang diterima kali ini lebih besar berbanding RM1 juta pada tahun lalu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pemberian peruntukan ini. Pemberian itu hasil usaha pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri terlibat yang meneliti serta mengenal pasti kerosakan.
“Seterusnya mereka (pegawai-pegawai JKR negeri) menyedia dan mengangkat permohonan peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Mega JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil.1/2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Dr. Izani memberitahu, beliau mengingatkan kesemua kontraktor yang terlibat dengan Program Pemasangan Lampu Jalan Di Kawasan Kemalangan dan Kawasan Berisiko Kemalangan Akibat Jalan Gelap dapat melaksanakan tugas itu dengan sebaik mungkin.
Katanya, beliau berharap kerja-kerja itu akan disiapkan sepenuhnya pada Julai nanti.
Dalam perkembangan lain, Dr. Izani berkata, pihaknya berharap pihak JKR dapat menjalankan peranan serta tanggungjawab mereka dengan penuh berintegriti termasuk menyegerakan pembayaran kepada kontraktor setelah penyelesaian kerja.
Katanya, bagaimanapun pihak JKR perlu terlebih dahulu memantau dan memastikan setiap kerja dilaksanakan mengikut syarat ditetapkan sebelum membuat pembayaran.
Ujarnya, langkah menyegerakan pembayaran akan dapat membolehkan semua kontraktor terbabit memberikan fokus kepada lain-lain projek sekali gus mendapatkan modal pusingan dan sebagainya.
“Selepas melalui proses pemantauan rapi dan penyemakan kerja serta kontraktor terbukti melaksanakan kerja dengan baik, juga memenuhi spesifikasi dan syarat ditetapkan, saya harap pihak JKR dapat menyegerakan pembayaran.
“Kita tahu kebanyakan mereka yang menerima projek bernilai RM100,000 hingga RM200,000 ini merupakan kontraktor kecil dan langkah menyegerakan pembayaran pastinya amat dihargai,” katanya.-UTUSAN









