Parlimen: syor pindah ‘kuasa’ Naib Canselor ke Jawatankuasa Tatatertib Pelajar

Parlimen: syor pindah ‘kuasa’ Naib Canselor ke Jawatankuasa Tatatertib Pelajar

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuasa menentukan tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam bakal dipindahkan ke Jawatankuasa Tatatertib Pelajar dan bukan lagi berada di bawah kuasa Naib Canselor.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Seksyen 16B Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 memperuntukkan pihak berkuasa tatatertib universiti adalah Naib Canselor.

Bagaimanapun, menurut beliau, melalui pindaan akta tersebut menyaksikan pemindahan kuasa daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar dalam pengendalian isu tatatertib pelajar.

“Dalam konteks pengendalian kes tatatertib, semakan mendapati amalan sedia ada di semua universiti awam adalah ia tidak dikendalikan oleh Naib Canselor, sebaliknya kuasa berkenaan terletak pada Jawatankuasa Tatatertib itu sendiri.

“Untuk itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bercadang memindahkan kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar supaya ia mencerminkan amalan semasa di universiti awam,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan AUKU peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU pindaan AUKU yang dijangka diluluskan hari ini bakal menyaksikan beberapa seksyen dalam akta tersebut dipinda iaitu membabitkan Seksyen 15 dan 16 AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Skesyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.

Pindaan tersebut merangkumi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti dibenar memungut wang dan menerima sumbangan dalam apa cara sekalipun termasuk membuka serta mengurus akaun dengan mana-mana institusi kewangan yang sah.

Selain itu, tempoh penggal bagi MPP yang ditetapkan setahun sebelum ini turut akan dipinda, yang mana pihak berkuasa universiti atau lembaga boleh melanjutkan tempoh keahlian apabila pilihan raya kampus tidak dapat dilaksanakan pada tempoh ditetapkan.

Mengulas lanjut, Dr. Zambry berkata, pindaan tersebut dibuat secara berperingkat iaitu bermula dengan MPP sebelum ia diperluas kepada badan dan persatuan-persatuan pelajar yang lain.

“Kementerian ingin tegaskan, cadangan pemberian kemudahan ini bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk belajar mengurus aktiviti kewangan persatuan masing-masing.

“Dengan RUU ini, agenda pemerkasaan mahasiswa dapat dijayakan, seterusnya melakar sejarah apabila AUKU sekali lagi dipinda untuk mengangkat martabat mahasiswa dan pelajar di universiti awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×