SINGAPURA: Peringkat ketiga bantuan kemanusiaan Singapura untuk Gaza berjaya tiba di Jordan dengan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) bersedia untuk memulakan penghantaran barangan jatuhan dari udara (airdrop) tidak lama lagi.
Lapor CNA, pakej kemanusiaan yang ditawarkan termasuk pek makan, bekalan perubatan dan peralatan harian.
Kementerian Luar Negeri (MFA) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) Singapura berkata, langkah itu hasil kerjasama kerajaan Singapura dengan Jordan dan berdasarkan keperluan lapangan di Gaza.
Jelas kedua-dua kementerian itu, Singapura menyertai beberapa negara dalam usaha untuk menghantar bantuan yang sangat diperlukan ke kawasan yang dilanda kelaparan, ketika agensi bantuan menghadapi halangan melalui laluan darat.
Menurut kementerian itu, RSAF akan menjalankan operasi airdrop keluar dari Jordan bersama dengan Tentera Udara Diraja Jordan.
“Singapura terus menyeru gencatan senjata kemanusiaan segera dan menggesa semua pihak membenarkan pemberian bantuan kemanusiaan segera, selamat dan tanpa halangan kepada orang awam yang terjejas di Gaza,” kata MFA dan MINDEF.
Mereka menambah bahawa Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsinya di Asia Barat dan kumpulan kemanusiaan tempatan untuk menawarkan bantuan dan sokongan tambahan kepada komuniti yang terjejas.
Peperangan bermula pada 7 Oktober lalu apabila Hamas menghantar pejuang ke Israel, membunuh 1,200 orang, kebanyakannya orang awam dan merampas 253 tebusan, menurut jumlah yang dikeluarkan Israel.
Kempen darat dan udara Israel membunuh lebih 31,500 orang, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.
Israel berkata ia membunuh sekurang-kurangnya 13,000 anggota Hamas dalam pertempuran Gaza.
MFA berkata pada Jumaat lalu, pesawat pengangkut RSAF C-130 akan menjalankan operasi airdrop kemanusiaan itu.
Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 juga digunakan untuk misi tersebut.
Dalam pada itu, Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Vivian Balakrishnan menggelar pakej bantuan kemanusiaan terbaharu itu sebagai keprihatinan dan belas kasihan rakyat Singapura terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Menteri itu yang melawat Amman pada hujung minggu bersama Menteri Kanan Negara Pertahanan Singapura, Zaqy Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada Jordan kerana memudahkan penyampaian bantuan.
Beliau akan melawat Wilayah Palestin, Israel, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Arab Saudi dari 18 hingga 24 Mac ini.










