KOTA KINABALU: Pemergian ibu akibat serangan jantung lapan tahun lalu seolah-olah membawa bersama ‘kemeriahan Aidilfitri’ yang disambut setiap tahun.
Aidilfitri seperti tiada makna lagi buat Mohd. Haikal Umar selepas ibunya pergi meninggalkan dia dan enam beradiknya pada 2016.
Mohd. Haikal, 17, yang kini belajar di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah berkata, semasa ibu masih ada, dia sering membawa mereka berkunjung ke rumah saudara mara sekitar Tuaran.
“Selepas ibu tiada, kami hanya pergi ke rumah ibu saudara. Itu satu-satunya rumah yang kami ziarah semasa Aidilfitri setelah ibu meninggal dunia,” katanya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) baru-baru ini.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri dia amat rindukan buras dan kuih-muih yang dibuat oleh ibunya.
Antara makanan kegemarannya adalah udang nenas masak lemak yang dibuat oleh arwah ibunya.
“Air tangan arwah ibu tidak akan sama dengan orang lain dan kami amat merinduinya,” ujarnya.
Katanya, setiap tahun semasa Aidilfitri, mereka sekeluarga akan menziarahi pusara ibu pada hari raya kedua.
Anak muda yang berhasrat menjadi ustaz itu turut meletakkan harapan yang tinggi untuk melanjutkan pengajian ke Turkiye suatu hari kelak.
Menurutnya, memandangkan bapanya sudah berhenti kerja sebagai pemandu lori kerana masalah kesihatan, maka yuran pengajian dia dan adiknya yang bersekolah ditanggung oleh ibu saudaranya.
Mohd. Haikal turut menceritakan mereka menghabiskan masa menghafal dan khatam al-Quran sepanjang Ramadan.











