IPO SBH Marine bakal jana modal RM195.4 juta

IPO SBH Marine bakal jana modal RM195.4 juta

PENGARAH Urusan Kumpulan SBH Marine Holdings Berhad (SBH), Tan Boo Nam (enam dari kiri) dalam majlis pelancaran prospektus IPO syarikat tersebut di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakar makanan laut beku bersepadu, SBH Marine Holdings Berhad (SBH) dijangka mengumpul dana berjumlah RM195.4 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 888 juta saham biasa pada harga 22 sen sesaham.

Menerusi prospektus IPO syarikat yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) 8 April ini, syarikat itu memperuntukkan RM39.6 juta dengan lebih 70 peratus daripada dana tersebut untuk mengembangkan lagi perniagaan.

Pengarah Urusan Kumpulan SBH Marine, Tan Boo Nam berkata, daripada dana tersebut juga, sebanyak RM16 juta akan digunakan untuk pembangunan ternakan udang akuakultur di Selinsing, Perak.

“Selain itu, sebanyak RM6.5 juta digunakan bagi pembinaan kilang kedua bagi pemprosesan makanan laut di Kuala Kurau dan RM6.1 juta bagi pembelian jentera baharu, peralatan dan kenderaan bermotor,” katanya dalam majlis pelancaran prospektus SBH Marine, di sini semalam.

Menurutnya, baki dana sebanyak RM7 juta dan RM4 juta diperuntukkan untuk modal kerja dan perbelanjaan lain seperti pengendalian tapak semaian udang baharu yang dijangka bakal mengeluarkan benih udang sendiri menjelang akhir tahun ini.

Jelasnya, projek untuk memperluaskan lagi pengeluaran makanan laut beku syarikat itu adalah bagi memastikan bekalan produk sentiasa mampan bagi menghargai pelanggan mereka.

“Sebanyak 80 peratus pelanggan SBH Marine adalah dari luar negara yang mana mereka (pelanggan) membuat pesanan secara berulang, sekali gus membuktikan kualiti produk kami dan dedikasi yang dilaburkan dalam pengeluaran ternakan udang akuakultur berjaya meyakinkan pengguna,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulah SBH Marine, Saw Leng Hean berkata, syarikat berhasrat mengembangkan kapasiti pemprosesan makanan laut melalui pembinaan kilang baharu seluas kira-kira 1.29 ekar yang terletak di Kuala Kurau.

“Setelah siap, jumlah anggaran kapasiti pengeluaran tahunan kami akan ditambah dengan tambahan 4,000 tan makanan laut beku yang diproses.

“Pembinaan kilang pemprosesan makanan laut baharu itu dijangka dimulakan pada suku ketiga 2024 dan dijadualkan siap dalam tempoh 12 bulan, dengan sasaran pentauliahan pada suku kedua 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×