KUALA SELANGOR: Seorang wanita dilihat sanggup berpura-pura berqiamullail semata-mata mahu mencuri beg tangan jemaah di Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu sebelum tular di media sosial.
Pengurus Masjid Raja Lumu, Luqman Hafiz Mohd. Amir berkata, penelitian rakaman itu mendapati suspek dipercayai berlegar di ruang solat wanita dan hanya menunaikan solat hajat di penghujung qiamullail.
“Perbuatan mencuri itu dilakukan sebaik semua jemaah keluar ke khemah untuk bersahur. Wanita yang memakai telekung separuh itu kemudian menanggalkannya sebelum menghampiri rak berdekatan pintu belakang.
“Dia yang menyelongkar beg itu segera beredar selepas menyedari jemaah yang selesai bersahur masuk ke dalam ruang solat,” katanya hari ini.
Tambahnya, kecurian itu disedari mangsa berusia 60 tahun yang mendapati beg tangan miliknya hilang.
“Wanita itu kemudian berjumpa pengurusan masjid dan hasil semakan CCTV mendapati beg tangannya telah dicuri suspek. Begi itu berisi beberapa barangan antaranya telekung dan sejumlah wang,” jelasnya.
Katanya lagi, kes kecurian beg itu kali pertama berlaku di masjid berkenaan yang mengadakan qiamullail setiap awal pagi Ahad sepanjang Ramadan ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa mengesahkan menerima laporan kes tersebut.
“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN










