Tanding PRN, Shahelmey perlu kosongkan kerusi Parlimen Putatan

Tanding PRN, Shahelmey perlu kosongkan kerusi Parlimen Putatan

BUNG Moktar Radin (empat kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar tajaan Yayasan Pelajaran Mara, di Putatan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTATAN: Kerusi Parlimen Putatan perlu dikosongkan jika penyandangnya, Datuk Shahelmey Yahya memutuskan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Pada masa ini, Shahelmey yang merupakan Timbalan Ketua Menteri turut menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat yang dimenangi di bawah payung Barisan Nasional (BN) pada PRN lalu.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jika Shahelmey memutuskan untuk bertanding PRN Sabah maka dia perlu mengikut peraturan iaitu meletak jawatan selaku ahli Parlimen.

“Bermakna mungkin ada pemilihan serentak sebab itu bukan peraturan kita, itu peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya selepas Program Jelajah Ramadan UMNO, di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah iberkata, BN dan UMNO mempunyai ramai calon yang boleh diketengahkan sekiranya kerusi Parlimen tersebut dikosongkan.

Menurutnya, UMNO akan memberi fokus kepada kawasan yang mereka yakin boleh menang termasuk kerusi tradisi yang dipinjamkan kepada parti lain.

“Bagi kerusi tradisi UMNO yang kita pinjamkan kepada rakan-rakan lain, mungkin kita akan buat kajian. Sekiranya UMNO masih boleh menang di situ maka, kita akan bertanding.

“Jumlah kerusi (ditandingi) belum diputuskan tapi takkan kawasan Cina pun kita bertanding, kita akan putuskan nanti,” katanya.

Mengenai enam kerusi Parlimen yang dituntut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk dikosongkan, Bung Moktar berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan kesediaan meletakkan calon.

Maka, beliau menyokong apa juga keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO.

Pada Mac tahun lalu, kepimpinan tertinggi UMNO memutuskan untuk menggantung keahlian Shahelmey selama enam tahun berikutan tindakannya membelakangkan keputusan parti dengan menyokong Datuk Seri Hajiji Noor semasa berlaku Langkah Kinabalu pada Januari tahun lalu.

Semasa kemelut politik itu berlaku, Shahelmey bersama tiga lagi ADUN UMNO iaitu Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) sama-sama menyatakan sokongan terhadap Hajiji Noor selaku Ketua Menteri.

Susulan itu, BN dan UMNO bertindak menggantung keahlian Shahelmey serta memecat tiga ADUN berkenaan. Kini, ADUN UMNO hanya tinggal 12 orang termasuk ADUN Dilantik. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×