TANAH MERAH: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM153.2 juta untuk membangunkan Kelantan Selatan bagi tempoh empat tahun bermula 2021 hingga 2024 sebagaimana yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Menurutnya, pada tahun ini sebanyak RM36.47 juta telah diluluskan kerajaan merangkumi pelaksanaan 27 program dan projek pembangunan.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM7.2 juta telah diperuntukan kepada rakyat Tanah Merah bagi projek pembangunan melibatkan kemudahan awam, infrastruktur
perhubungan dan utiliti desa yang bakal memberi manfaat langsung kepada lebih 10,000 orang penduduk.
“Pada masa sama, projek menaik taraf jalan ke Kampung Kusial yang menelan belanja
sebanyak RM42.5 juta akan dilaksanakan di bawah kementerian lain. Projek ini dijangka siap tahun 2026 sekali gus mampu menyelesaikan isu jalan perhubungan yang terputus ke kampung berkenaan semasa banjir,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kesedar di Masjid Mukim Batang Merbau, di sini hari ini.
Menteri Kemajuan Bandar dan Wilayah memberitahu, sepanjang tempoh 2021 hingga 2023 lalu Kesedar telah membina sebanyak 35 unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) melibatkan kos sebanyak RM2.3 juta.
Katanya, pada masa sama sebanyak RM1.5 juta telah disalurkan untuk kerja-kerja baik pulih 141 unit rumah.
“Kerajaan Persekutuan akan terus memacu lebih banyak program-program pembangunan yang boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan Tanah Merah dan kawasan Kelantan Selatan umumnya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, sebanyak RM293,300 telah disalurkan kepada 475 buah masjid dan madrasah di kawasan Kelantan Selatan untuk menghidupkan bulan Ramadan.
Katanya, ia melibatkan ceramah-ceramah agama, majlis berbuka puasa dan lain-lain
“Sebanyak RM60,000.00 untuk bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar di Wilayah Kelantan Selatan,”katanya.











