Pahang hantar pelajar STEM ke Timur Tengah - Utusan Malaysia

Pahang hantar pelajar STEM ke Timur Tengah

WAN ROSDY Wan Ismail (dua dari kiri) menyampaikan bantuan Ramadan kepada masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan di Lipis, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kerajaan negeri akan menghantar pelajar tajaan Yayasan Pahang (YP) ke negara Timur Tengah dalam bidang Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketika ini YP banyak menghantar pelajar dalam jurusan hadis dan al-Quran di beberapa negara seperti Jordan, Mesir dan Maghribi.

Jadi ujarnya, fokus kerajaan negeri untuk mengimbangkan kepakaran anak-anak Pahang dalam bidang STEM.

“Program sedia ada diteruskan malah diperkasakan namun pada masa sama pelajar STEM akan turut di hantar ke negara-negara berkenaan bagi mendapat kepakaran dalam bidang tersebut.

“Dengan mempelbagaikan jurusan kepakaran ini secara langsung anak Pahang apabila habis pengajian mempunyai peluang kerjaya tidak hanya sebagai pensyarah, ustaz dan sebagainya,” katanya kepada pemberita. selepas majlis penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan Sumbangan Ihya Ramadan di Laman Terbuka Jelai, Sungai Koyan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, anak Pahang yang balik dari Timur Tengah dalam bidang profesional seperti kedoktoran, jurutera, akauntan dan lain-lain diperlukan negara dan negeri.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 73 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan mendapat BAP 2024.

“Kerajaan negeri mensasarkan 16,800 murid sekolah rendah dan menengah dalam kalangan kurang berkemampuan akan menerima BAP dalam bentuk peralatan sekolah seperti beg, botol air dan alat tulis yang melibatkan peruntukan RM1.5 juta.

“Barangan ini akan diagihkan kepada 400 murid di setiap 42 kawasan,” katanya.

Pada majlis itu, turut menerima sumbangan, Maahad Tahfiz Ar-Rushd, RM5,000, 537 orang kurang upaya (OKU) dari 13 kampung sekitar Jelai yang terdiri daripada tiga kategori seperti ibu tunggal (127 orang), anak yatim (167 orang) dan sakit kronik/pesakit terlantar (243 orang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×