SELAYANG: Seorang pemilik sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjual petrol RON95 bersubsidi kepada kenderaan asing yang tular di media sosial, awal Januari lalu.
Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 26 April ini bagi fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Naziruddin didakwa menjual barang kawalan berjadual petrol RON 95 sebanyak 48.78 liter kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing dari Thailand.
OKS selaku pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel, didakwa gagal mematuhi Arahan Pengawal Bekalan dan perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat, Lebuh Raya Utara- Selatan arah utara pada pukul 9.16 pagi pada 1 Januari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukan denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Hannah Abd. Wahab bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Nor Wahidah Muhammad. Manakala Mohammad Naziruddin diwakili peguam Muhammad Syahmi Akif Jamili. – UTUSAN










